Tuesday, February 3, 2009

Sumbangan RM1,660 untuk Palestin

Sebanyak RM1,660 berjaya dikumpul mahasiswa kediaman Ungku Aziz, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur sempena Program Operasi Khidmat Bakti Masyarakat (Opkim) 2009 di Kampung Pulai.

Pengarah program, Mohd Yasin Rambli berkata, usaha berkenaan diambil sebagai tanda prihatin mereka dalam usaha membantu mangsa keganasan Palestin.

“Kempen ini diusahakan 50 penuntut pelbagai jurusan dan diserahkan Pemangku Pengetua Kolej Kediaman Ungku Aziz, Fakhiriatul Azhan Abd Aziz, kepada wakil NSTP (News Straits Times Publishing) di balai raya kampung terbabit.

“Wang ini diserahkan kepada wakil NSTP selepas majlis penutup program terbabit,” katanya.

Majlis ini disaksikan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulai, Seman Deros dan penyelaras program, Mohamad Nasser Yusof.

Katanya, usaha mahasiswa tersebut seharusnya dipuji dalam membantu golongan tidak berkemampuan.

“Sifat mulia yang ditonjolkan mahasiswa ini seharusnya dicontohi semua pihak terutama dalam kita membantu mangsa keganasan di Palestin,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.