Pihak Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersedia memberi bantuan dari segi kewangan kepada anak-anak Orang Asli yang ingin melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Timbalan Pengerusi MAIM, Ghazale Mohamad berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan masyarakat Orang Asli di negeri ini memeluk Agama Islam supaya pihak MAIM dapat memberikan pelbagai bantuan kewangan tidak kira bantuan sara hidup, pendidikan anak–anak dan sebagainya.
"Bantuan ini khusus kepada mereka yang beragama Islam sahaja, ini kerana agama Islam adalah agama yang mudah amalannya maka itu ia wajar dianuti oleh Orang Asli yang telah sekian lama bergaul rapat dengan masyarakat Islam sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Jiwa Murni Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Machap Umboo dan Bukit Besar, Alor Gajah, baru-baru ini.
Program tersebut adalah anjuran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Bahagian Rumahku Syurgaku (RKSK), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Melaka dan Badan Kebajikan Persaudaraan Islam (BAKPIS).
Pada majlis yang sama, penyerahan hamper kepada para penduduk kampung dan penyampaian wang khairat kematian kepada keluarga Sabtudis Asah turut diadakan.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program tersebut ialah menziarahi kubur saudara baru dari masyarakat Orang Asli, ziarah dari rumah ke rumah serta bacaan Yaasin dan Tahlil.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Dakwah, Datuk Ahmad Mustafa Karim, Pendaftar Mualaf Negeri Melaka, Mohammad Leow Abdullah dan Pegawai Hal Ehwal Orang Asli Negeri Melaka, Suzilla Baki.
"Mudah-mudahan program ini akan mempereratkan lagi hubungan antara pemimpin, pihak jabatan dan masyarakat Orang Asli dari masa ke semasa," katanya.