Sunday, February 22, 2009

Rumah lima beranak nyaris terbakar

Rumah sekeluarga lima beranak terselamat daripada kebakaran sewaktu mereka ke Pekan Merlimau untuk mendapatkan rawatan doktor.

Adi Iskandar Abu Bakar, 29, berkata, dia terkejut apabila mendapat panggilan daripada jiran tetangga yang memberitahu terdapat kepulan asap dari arah belakang rumahnya di Kampung Tedong Pantai.

"Jiran saya pada waktu itu sedang menyiram pokok melihat kepulan asap dari arah dapur dan apabila mereka meninjau dari tingkap belakang rumah saya, mereka mendapati sebahagian daripada dapur tempat memasak sudah hangus.

"Mereka lantas menghubungi saya dan pada ketika itu, isteri memberitahu sebelum kami keluar rumah dia ada menjerang air dan terlupa untuk menutup gas sebelum keluar rumah," katanya.

Katanya, sebaik sahaja sampai di rumah dia mendapati dapur serta cerek yang digunakan untuk memasak air tadi sudah hangus terbakar.

"Mujur tong gas tidak meletup, jika tidak saya tidak tahu apa yang akan berlaku," katanya.

Ketika kejadian, adik perempuannya yang tinggal bersamanya tiada di rumah kerana bekerja dan kejadian berlaku antara jam 9 pagi sehingga 11 pagi.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad berkata, pihaknya memanggil pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membuat penilaian kerugian mereka sekeluarga.

Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dan Kelab Sukarelawan Al –Taqwa Maim yang menziarah, menyampaikan sumbangan berbentuk makanan asas kepada Adi bagi meringankan beban yang ditanggung.

"Sejurus selepas mendapat tahu mengenai kejadian ini awal pagi tadi, wakil daripada JKM datang dan menghantar barangan makanan kepada mereka sekeluarga sebagai bantuan awal," katanya kepada Sinar Harian selepas lawatan ke rumah Adi, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Penyelia Kelab Sukarelawan Al- Taqwa Maim, Md Dino Md Delan, Setiuasaha Japerun Serkam, Ramlan Mohd Ali serta Ketua Wanita UMNO cawangan Tedong Pantai, Khatijah Bahari.

Katanya, pihaknya juga akan berusaha memanjangkan permohonan ini kepada Pejabat Daerah untuk sumbangan bencana alam.

Adi merakamkan penghargaan kepada pihak JKM, Japerun serta pihak yang sudi menghulurkan bantuan serta simpati kepada mereka sekeluarga