Wednesday, February 11, 2009

Tilawah tarik minat saudara muslim dalami al-Quran

Majlis Tilawah al-Quran yang diadakan di Masjid Bukit Baru di sini bertujuan menarik minat saudara muslim untuk mendalami kitab suci itu.

Program dirasmikan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ghazale Muhamad mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Tilawah anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Melaka, Badan Bukan Kerajaan (NGO) Saudara Muslim dan Balai Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (JAIM) itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada saudara muslim di sini.

Pengerusi Penganjur Program, Datuk Abu Pit berkata, penyertaan pada tahun ini lebih memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, majlis tersebut merupakan salah satu cara bagi meningkatkan minat pelajar untuk mempelajari al-Quran sepanjang hayat mereka.

"Seramai 44 peserta mengambil bahagian dalam tiga kategori iaitu dewasa, remaja dan kanak-kanak.

"Peserta terdiri daripada pelajar-pelajar saudara muslim yang kebanyakannya mengikuti kelas al-Quran di Pejabat Perkim negeri, Balai Islam dan cawangan-cawangan Perkim seluruh Negeri Melaka,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Abu juga berkata, saudara muslim perlu dibimbing dan didampingi oleh Islam baka supaya mereka tidak keseorangan setelah berpisah dari keluarga asalnya.

"Tanpa bimbingan yang berterusan dan menjaga kebajikan mereka, berkemungkinan mereka kembali kepada agama asal.

"Oleh itu, Islam baka perlu berdakwah sepanjang hayat supaya tiada saudara muslim yang murtad," katanya lagi.

Sementara itu, johan Tilawah al-Quran Saudara Muslim menerima wang tunai RM500, naib johan RM400 dan tempat ketiga RM250 manakala peserta yang mengambil bahagian turut menerima cenderahati dan sijil penyertaan.

Pada masa sama, pihak penganjur juga telah mengadakan pertandingan pidato dan kuiz agama saudara muslim.