Monday, December 29, 2008

Penulis Blog Wajar Dikenakan ISA

Tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) wajar dikenakan kepada individu yang bertanggungjawab menulis blog menghina Nabi Muhammad S.A.W yang jelas boleh menimbulkan kekacauan dan huru-hara di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad berkata, individu terbabit mempunyai niat yang tidak baik telah mewujudkan blog tersebut.

"Perbuatan individu terbabit jelas menghina masyarakat Islam di negara ini dan berniat mendatangkan keadaan huru-hara di kalangan masyarakat," katanya yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Beliau berkata demikian selepas melawat bayi kelahiran sambutan Ma'al Hijrah di Hospital Melaka (HM) di sini hari ini.

Ghazale berkata, itu merupakan usaha pihak tertentu untuk memecah belahkan persefahaman dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Maka amat wajar individu yang bertanggungjawab ke atas perkara itu dikenakan ISA," katanya.

Beliau menegaskan, pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut, kelmarin bagi membantah kewujudan blog terbabit yang jelas menghina kesucian agama Islam.

"Sekiranya individu terbabit tidak diambil tindakan yang sewajarnya, perkara ini mungkin akan berlarutan dan kewujudan blog itu telah mendatangkan keadaan tidak selesa di kalangan umat Islam," katanya.

Sunday, December 21, 2008

Usaha Tarik Lebih Ramai Orang asli Memeluk Islam.

Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memerlukan kerjasama masyarakat Islam sendiri untuk membantu menarik minat orang Asli menganuti agama Islam.

Timbalan Pengerusinya, Ghazale Muhamad berkata, pihaknya juga sentiasa melipat gandakan usaha untuk menarik lebih ramai masyarakat Orang Asli yang tidak beragama di negeri ini untuk memeluk Islam.

"Setakat ini,terdapat lebih 1,200 masyarakat Orang Asli di seluruh negeri namun hanya sebahagian kecil daripada jumlah itu yang sudah memeluk agama Islam," katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Gazale berkata, masyarakat Orang Asli sebenarnya berminat untuk beragama namun disebabkan terdapat segelintir masyarakat Islam yang tidak menunjukkan sikap yang baik, ini telah mempengaruhi Orang Asli itu sendiri untuk lebih gemar tidak beragama.

"Sebagai orang Islam, kita harus menunjukkan sikap yang baik agar golongan masyarakat tidak beragama ini akan lebih tertarik mengikut ajaran Islam,"jelasnya.

Beliau berkata,ada di kalangan Orang Asli bertayakan tentang sikap buruk orang Islam ini dan terpaksa beberapa kali menjelaskan kepada mereka tidak semua masyarakat Islam bersikap buruk seperti ini.

"Persoalan yang di kemukakan oleh Orang Asli terbabit secara tidak langsung menjejaskan usaha MAIM untuk menarik minat golongan itu memeluk Islam,"Katanya.

Thursday, December 18, 2008

Ibu Bapa Kena Perihatin Soal Pendidikan Anak

Keperihatinan sewajarnya perlu diberikan dalam usaha ibu bapa menerapkan ilmu terutama kepada anak-anak melalui kursus-kursus seperti motivasi kemahiran diri dan keusahawanan serta kelas-kelas tambahan.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka(MAIM) Ghazle Muhamad berkata, ianya bertujuan melahirkan modal insan berilmu yang dapat menymbang kepada agama, bangsa dan negara.

"Ilmu mempunyai kedudukan yang amat tinggi dalam Islam, di mana setiap umatnya dituntut supaya dapat menimba ilmu dan meletakkan kedudukkan mereka yang berilmu mulia serta dapat menjauhkan diri dari melakukan perkara-perkara yang di tegah agama,"katanya.

Ghazale berkata demikian semas berucap di perasmian Majlis Penyerahan Bantuan MAIM(anak-anak Harapan MAIM)di pengkaran Kompleks Japerun Rim,baru-baru ini.

Hadir sama,Penolong Setiausaha Bahagian Zakat MAIM, Mohd Khabir Karim dan Pembantu Hal Ehwal Islam, Bahagian Zakat, Sidik Md Raus.

Jesteru, katanya selaras dengan hasrat dan matlamat itu, Kerajaan negeri dalam usaha membentuk generasi muda yang berwawasan, berwibawa dan berketrampilan telah mengadakan pelbagai kursus dan motivasi anjuran MAIM kepada anak-anak Harapan MAIM seperti kursus Jatidiri, kursus Latihan Komputer, Motivasi dan sebagainya.

"Kursus-kursus seumpama ini diharapkan akan dapat membentuk anak-anak supaya menjadi generasi aktif dan berwawasan yang dapat menyumbangkan dan memberikan idea yang baik demi membangunkan negara dan negeri Melaka pada masa hadapan.

"Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memberikan dorongan dan galakan kepada anak-anak supaya berjaya dalam pelajaran dan hidup mereka,"katanya.

Tambah beliau lagi, dengan kejayaan anak-anak ini, diharapkan akan dapat membantu mereka dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi dan seterusnya mengurangkan segala bebanan yang di hadapi.

Katanya, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Pembela dengan kerjasama JKM, MAIM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah pun menyelaras dan menyusun bagi program pembasmian kemiskinan seterusnya masyarakat kini sedang menuju ke arah negeri maju menjelang 2010

Thursday, December 4, 2008

Usaha tarik Orang Asli peluk Islam

Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sentiasa melipatgandakan usaha untuk menarik lebih ramai masyarakat Orang Asli yang tidak beragama di negeri ini untuk memeluk Islam.

Timbalan Pengerusinya, Ghazale Muhamad berkata, setakat ini, terdapat lebih 1,200 masyarakat Orang Asli di seluruh negeri namun hanya sebahagian kecil daripada jumlah itu yang sudah memeluk agama Islam.

Menurutnya, MAIM memerlukan kerjasama masyarakat Islam sendiri untuk membantu agensi itu menarik minat Orang Asli untuk menganuti Islam, seterusnya membantu golongan itu meningkatkan taraf kehidupan mereka pada masa depan.

''Saya merasakan masyarakat Orang Asli sebenarnya berminat untuk beragama namun disebabkan terdapat segelintir masyarakat Islam yang tidak menunjukkan sikap yang baik, ini telah mempengaruhi Orang Asli itu sendiri untuk lebih gemar tidak beragama.

''Sebagai orang Islam, kita harus menunjukkan sikap yang baik agar golongan masyarakat tidak beragama ini akan lebih tertarik mengikut ajaran Islam," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyempurnakan majlis memeluk Islam oleh tiga beradik Orang Asli Kampung Lubok Bandung, Simpang Bekoh di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, Ghazale telah mengajar Siti Norhayati Maun, 13, Mohd. Nazri, 10 dan Erma Fatima, 7, melafazkan kalimah syahadah sambil ditemani ibu mereka, Rokiah Bujang, 41, Siti Norermawati, 21, beserta Tok Batin, Sampat.

Selepas selesai majlis itu, tiga kanak-kanak berkenaan diberikan hadiah sejadah, songkok, telekung dan buku agama, selain wang zakat saudara baru sebanyak RM500 setiap seorang.

Selain itu, menurut Ghazale, sikap segelintir orang Islam tidak mematuhi ajaran Islam seperti tidak solat, tidak berpuasa dan minum arak sering menjadi persoalan yang ditimbulkan oleh masyarakat Orang Asli dalam kempen jelajah MAIM ke kampung mereka sebelum ini.

''Ada di kalangan Orang Asli ini bertanyakan tentang sikap buruk orang Islam ini dan kita terpaksa beberapa kali menjelaskan kepada mereka bahawa tidak semua masyarakat Islam bersikap buruk seperti ini," katanya.

Katanya, persoalan yang dikemukakan oleh Orang Asli terbabit secara tidak langsung menjejaskan usaha MAIM untuk menarik minat golongan itu memeluk Islam.

''Mereka (Orang Asli) memandang kita dengan satu pandangan yang keliru dan tidak yakin dengan agama ini kerana sikap buruk segelintir orang Islam yang pada hari ini masih tidak mengikuti ajaran agama yang sewajarnya," kata beliau.

Katanya, keluarga Orang Asli terbabit akan diberi kursus kelas untuk memantap fardu ain termasuklah praktikal solat, berwuduk, bersuci dan kelas Iqra.

Katanya, keluarga Rokiah antara lima keluarga Orang Asli yang memeluk Islam di kampung berkenaan daripada keseluruhan 105 penduduk Orang Asli yang terdapat di situ.

Nama jadi kemusykilan

Dua tahun lalu Mohd. Nazri Maun sering bertanya kepada ibunya, Rokiah Bujang, 41, mengapa namanya berbeza daripada nama anak-anak Orang Asli lain yang tinggal di Kampung Lubok Bandung, Simpang Bekoh di sini.

Oleh kerana Mohd. Nazri masih kecil, si ibu, yang juga seorang ibu tunggal hanya mendiamkan diri dan menunggu masa yang lebih sesuai untuk memberitahu Mohd. Nazri yang ketika itu berusia lapan tahun.

Bukan Mohd. Nazri sahaja, kakaknya, Siti Norhayati, 13, juga dibelenggu persoalan yang sama kerana sering ditanya oleh rakan-rakan sekelas mengenai nama Melayu yang dimilikinya itu tetapi dalam borang pengenalan dirinya, tidak pula dinyatakan tentang agama mereka.

Akhirnya persoalan adik beradik itu terjawab pada bulan lalu apabila Rokiah membawa anak-anaknya itu memasuki dunia baru iaitu menganut agama Islam.

Dua tahun sebelum itu, Rokiah hanya membawa anak perempuan sulungnya, Siti Norermawati, 21, untuk bersamanya memeluk agama Islam kerana merasakan pada waktu itu Mohd. Nazri, Siti Norhayati dan anak bongsunya, Erma Fatima, tujuh tahun, masih terlalu kecil.

Bagaimanapun, kali ini Rokiah sudah bersedia dan paling membanggakan wanita itu, apabila Mohd. Nazri sendiri menyatakan kesediaannya untuk dikhatankan sebelum dia melafazkan kalimah syahadah.

''Saya agak terkejut ketika dia (Mohd. Nazri) menyatakan hasrat untuk berkhatan selepas saya bertanyakan kepada anak-anak tentang agama Islam.

''Kakaknya Norhayati pula tidak berkata apa-apa, cuma tersenyum, seolah-olah seperti lega setelah menunggu sekian lama manakala adik bongsunya pula, menunjukkan reaksi kehairanan tetapi tidak pula menangis atau menolak," kata Rokiah kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Pada tarikh 24 November lalu, Mohd. Nazri bersama kakak dan adik bongsunya telah memeluk Islam di hadapan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ghazale Muhamad di rumah mereka di Kampung Lubok Bandung.

Pada waktu itu, tiga beradik Orang Asli itu diapit oleh ibu dan kakak sulung mereka dan diajar oleh Ghazale untuk melafazkan kalimah syahadah.

Reaksi ketiga-tiga mereka agak tenang dan wajah yang paling teruja pada majlis itu adalah anak lelaki tunggal Rokiah, Mohd. Nazri. Walaupun baru sehari dikhatankan, kanak-kanak itu langsung tidak menunjukkan wajah tertekan atau malu kerana mereka menjadi perhatian masyarakat luar termasuk pihak akhbar.

''Anda kini sudah menjadi remaja Islam dan 'orang paling kuat' di rumah. Anda kini sudah ada tanggungjawab ya," tanya Ghazale kepada Mohd. Nazri ketika bersalaman dengan kanak-kanak itu.

Mohd. Nazri hanya tersenyum bangga dan sesekali menjeling kepada ibunya yang sejak dari mula majlis hingga selesai, asyik tersenyum dan sesekali mengalirkan air mata kegembiraan kerana mereka sekeluarga kini telah memperoleh sinar Islam yang telah lama dicari sebelum ini.

''Saya bersyukur akhirnya saya dapat juga memeluk Islam kerana sebelum ini kawan-kawan di sekolah sering keliru dengan status agama saya.

''Mereka ingatkan saya beragama Islam kerana nama saya Mohd. Nazri dan tidak mengetahui saya ini daripada masyarakat Orang Asli," kata Mohd. Nazri.

Dia yang sebelum itu agak pendiam ketika ditanya tentang dirinya, tiba-tiba berubah menjadi peramah selepas diminta bercerita tentang pergaulan dirinya di sekolah dengan rakan beragama Islam.

''Saya lebih ramai kawan Islam di sekolah berbanding rakan Orang Asli di kampung. Saya gembira sewaktu bersama mereka, '' katanya.

Ditanya tentang pengalaman berkhatan, kanak-kanak itu yang bercita-cita menjadi anggota tentera berkata:

''Tak sakit pun, macam biasa sahaja, lagi pun, malulah saya kalau rakan-rakan lain melihat saya menangis. Nak jadi lelaki kena buktikan berani."