Wednesday, February 25, 2009

17 Pemilik Tanah Terima Pampasan

Seramai 17 pemilik tanah yang terlibat dalam pengambilan tanah untuk pembinaan Jeti Pantai Siring telah menerima pampasan masing-masing pada majlis yang berlangsung di JAPERUN Serkam, kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazalee Muhamad berkata, kesemua 17 penerima pampasan itu merupakan mereka yang masih lagi hidup manakala 11 yang lain pula telah meninggal dunia.

“Waris kepada 11 lagi pemilik tanah yang telah meninggal dunia boleh berurusan dengan Amanah Raya Berhad (ARB) untuk pengurusan wang pampasan itu.

“Diharapkan dengan pemberian pampasan ini dapat menyelesaikan kerja-kerja Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan diharapkan ia akan berjalan dengan lebih lancar,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek pampasan kepada pemilik tanah.

Beliau yakin, pemberian pampasan ini dapat menyelesaikan segala masalah kerana Kerajaan Negeri sudah bagi ganti rugi kepada pemilik tanah.

Hadir sama ialah Penolong Pegawai Daerah, Mohd Ikram Ibrahim, Penghulu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Zakaria Abu Bakar dan Setiusaha Japerun Serkam, Ramlan Mohd Ali.

Menurut Ghazale, ada pemilik tanah yang menerima wang pampasan berjumlah diantara RM 29,000 sehingga RM 63,000 mengikut keluasan tanah yang dimiliki.

“Pampasan yang diberikan ini adalah peruntukkan daripada Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah Daerah,” katanya.

Ghazale turut memberitahu seorang pemilik tanah yang terlibat dalam pengambilan tanah untuk membina jeti di Muara Serkam kini sedang dalam proses pembayaran.

“Di Jeti Muara Serkam, seorang pemilik tanah yang terlibat dalam pengambilan tanah untuk membangunkan jeti itu sedang dalam proses,” katanya.