Wednesday, February 25, 2009

Hotel Wakaf MAIM Tanjung Kling siap 2010


Pembinaan Hotel Wakaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Tanjung Kling di sini dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun 2010.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, projek tersebut yang menelan kos sebanyak RM17 juta memulakan kerja-kerja pembinaan pada pertengahan bulan lalu.

Katanya, pembinaan Hotel Wakaf MAIM itu kelak bakal merancakkan lagi industri pelancongan negeri sekali gus melengkapkan keperluan sektor tersebut pada masa depan.

''Pembinaan Hotel Wakaf MAIM ini bertujuan memenuhi tuntutan fardu kifayah kepada masyarakat terutama di kalangan umat Islam yang datang bermusafir ke negeri ini dan bayaran penginapan yang setimpal dikenakan kepada golongan seperti ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pecah tanah Hotel Wakaf MAIM yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di sini, kelmarin.

Teks ucapan Ketua Menteri dibacakan oleh Timbalan Pengerusi MAIM, Ghazale Mohamad.

Mohd. Ali berkata, usaha kerajaan itu juga bertujuan membantu meningkatkan sosio- ekonomi umat Islam melalui cabang-cabang perniagaan yang diwujudkan dalam operasi pengurusan hotel.

Pada masa yang sama, katanya, pembinaan hotel wakaf tersebut berkonsepkan syariah yang pertama diwujudkan di negara ini.

Beliau memberitahu, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perdana Menteri telah memperuntukkan sejumlah RM256 juta di bawah peruntukkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi disalurkan bagi pembangunan projek wakaf di seluruh negara.

Katanya, pelbagai projek fizikal telah dilaksana sepanjang tempoh pelaksanaan RMK-9 bagi merancakkan pembangunan wakaf terutama yang dikenal pasti berpotensi menyumbang kepada sumber pendapatan kepada masyarakat Islam.

''Pembangunan hotel yang berkonsepkan Islam itu juga bertujuan menyediakan kemudahan penginapan, perkhidmatan dan makanan mengikut kehendak syariah Islam.

''Projek ini merupakan antara usaha Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dan MAIM untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi," katanya.

Hotel Wakaf MAIM akan menjadi pemangkin dalam menjana peluang pekerjaan di kalangan umat Islam di negeri ini sekali gus menambah pendapatan negara menerusi sektor tersebut.