Sunday, August 23, 2009

Pegawai Syarak Perlu Lebih Proaktif - Ghazale

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ghazale Mohamad mengingatkan para pegawai syarak di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu bertanggungjawab dan proaktif.

Beliau berkata, ini termasuk Pengerusi Lembaga Masjid dan Surau seperti imam, siak, bilal lelaki dan wanita dalam membantu masyarakat yang mengalami masalah di sesuatu kawasan.

"Saya mengharapkan kerjasama dari semua pegawai syarak yang ada agar bertanggungjawab dalam usaha membangunkan penduduk di setiap kawasan masing-masing," katannya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Sepetang Bersama Pegawai Syarak/ Adat DUN Serkam di Japerun Serkam, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau JAIM, Mohd Azle Abdul Rahman; Pegawai Siasatan Agihan Zakat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Sidek Md Raos dan Pemyelaras Masjid dan Surau Perlimen Jasin, Halil Abdullah.

Katanya, ini selaras dengan kedudukan Islam sendiri sebagai sebuah agama yang bersih dan suci serta berada pada kedudukan yang tinggi di dunia ini.

Selain itu, menjadikan masyarakat hidup dengan lebih aman sejahtera tanpa ada gangguan dari mana-mana pihak dan menjadikan agama Islam lebih disanjungi bukan sahaja dikalangan umat Islam khususnya malahan masyarakat bukan beragama Islam amnya.

Justeru itu, beliau mengharapkan agar pegawai syarak yang sedai ada agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka.

Wednesday, July 15, 2009

Tujuh Kariah Masjid DUN Serkam Sertai Pertandingan Berzanji

Pertandingan Berzanji dan Marhaban membabitkan tujuh kariah masjid sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, berjaya menghasilkan suatu kesenian Islam yang harus diketengahkan demi manfaat bersama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad berkata pertandingan seperti ini, ia dapat menarik perhatian golongan muda untuk turut sama menyertainya dalam usaha bersama-sama mendalami Agama Islam.

"Syukur, walaupun pertandingan ini merupakan pertandingan yang pertama kali diadakan, tetapi ianya mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan daripada seluruh anggota masyarakat termasuk golongan muda," katanya berucap merasmian Pertandingan Berzanji dan Marhaban antara Masjid di perkarangan Masjid Al-Khausar, Kampung Umbai Pantai, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah, Penghulu DUN Serkam, Zakaria Abu Bakar, Pengerusi Penyelaras UMNO DUN Serkam, Musa Ahmad dan Pengerusi Masjid Al-Khausar, Arshad Abd Rahman.

Katanya, pada pertandingan ini, sebanyak tujuh daripada 10 masjid di dalam DUN Serkam turut serta dalam acara ini dan pihaknya merancang untuk mengadakan pertandingan yang sama untuk kaum wanita pada hujung bulan ini.

Pada pertandingan tersebut pasukan Sempang muncul Johan dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500 di samping piala pusing, piala iringan, medal dan sijil penyertaan.

Tempat kedua pula dimenangi oleh pasukan dari Kampung Umbai Pantai dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM400 selain piala iringan, medal dan sijil penyertaan, makanala tempat ketiga pula disandang oleh kumpulan dari Kampung Serkam dengan membawa pulang wang tunai RM300 serta piala iringan, medal dan sijil penyertaan.

Empat lagi pasukan yang bertanding menerima saguhati wang tunai RM100, medal serta sijil penyertaan.

Jelasnya, pertandingan berbentuk keagamaan ini akan tetap diadakan pada setiap tahun dan memandangkan sambutan yang diterima daripada penduduk tempatan menggalakkan maka pihaknya merancang untuk mengadakan pertandingan untuk kategori kanak-kanak di masa hadapan.

"Ia bukan sahaja bermanfaat kepada golongan dewasa, malah ia juga merupakan sebahagian daripada bentuk dakwah kita dalam usaha menarik lebih ramai lagi golongan muda dan golongan masyarakat mendalami agama Islam ini," katanya.

Justeru itu, beliau berharap pada masa hadapan, lebih ramai lagi penyertaan akan di terima daripada masyarakat di DUN Serkam ini.

Wednesday, June 24, 2009

FESTIVAL NASYID

Festival Nasyid yang diadakan di sekolah-sekolah rendah dan menengah dapat mengeratkan silaturrahim antara pelajar dan tenaga pengajar di sekolah-sekolah terbabit.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Hal Ehwal Agama merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Mohamad berkata, ianya juga merupakan usaha bersama antara pelajar dan pihak sekolah dalam merancakkan lagi aktiviti ko-kurikulum di sekolah.

Beliau berkata, Festival Nasyid di sekolah-sekolah juga mampu membudayakan hiburan yang berunsurkan Islam.

"Saya melihat irama nasyid yang mengandungi unsur-unsur Islam ini, amat sesuai diserapkan ke dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi kerana melodinya tidak melalaikan sesiapa pun yang mendengarnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Nasyid Sekolah-Sekolah Rendah Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam di Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat, di sini.

Turut hadir, Ketua Unit Hal Ehwal Murid Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Jasin, Tuah Talip mewakili Pegawai PPD Jasin dan Guru Besar SK Serkam Darat, Sulaiman Said.

Sebanyak tujuh kumpulan yang mewakili tujuh SK DUN Serkam telah menyertai festival nasyid itu, di mana johan dimenangi oleh SK Serkam Darat.

Katanya, festival tersebut merupakan julung-julung kali diadakan di DUN Serkam serta mendapat sambutan menggalakkan dari pihak pengurusan SR di seluruh DUN Serkam.

Sehubungan itu, beliau berharap agar festival seumpama itu akan diperluaskan lagi dengan mengadakan pertandingan Nazam, Marhaban, Barzanji dan juga Qasidah

Tuesday, June 2, 2009

HM, JKM bantu remaja koma


Penderitaan seorang remaja, Mohd Nor Mohd Yusuf, 24, yang koma selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 27 April lalu mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Serkam, Ghazalee Muhammad memberitahu, selepas sebulan Mohd Nor mendapat rawatan di Hospital Melaka (HM), dia diarahkan dibawa pulang ke rumah keluarganya bagi mengelakkan terkena jangkitan bakteria meningitis yang menular pada ketika itu.

“Dia dibekalkan beberapa alatan bantuan oleh pihak HM untuk membolehkan ahli keluarganya menjaganya dengan baik.

“Ketika kemalangan itu, kepala remaja berkenaan cedera teruk sehingga menyebabkan dia tidak dapat menggerakkan tubuh badannya dan sehingga kini, masih masih belum sedarkan diri,” katanya.

Menurutnya, pada 17 Jun depan, Mohd Nor perlu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut dengan pakar di sana.

Katanya, memandangkan pendapatan bapanya, Mohd Yusuf Hashim, 66, hanya bekerja kampung, keluarganya tidak berkemampuan menguruskan untuk membawa Mohd Nor ke HKL di samping tidak mempunyai kenderaan.

“Oleh yang demikian, kita sudah menghubungi pihak HM dan mereka juga telah menyatakan persediaan mereka untuk membantu pesakit ini dan menyediakan pengangkutan untuk membawanya ke HKL.

“Sementara bapanya, yang sebelum ini menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Skim Bantuan Kanak-Kanak sebanyak RM100 akan dipertimbangkan untuk ditukar kepada Bantuan Pesakit Kronik yang bernilai RM300,” katanya.

Menurutnya, bagi memberikan kemudahan dan kesenangan kepada keluarga mangsa, JKM akan menyediakan bantuan RM300 serta-merta sebelum mangsa dan keluarganya berangkat ke HKL untuk rawatan susulan.

“Kita akan mengarahkan Badan Sukarelawan Al-Taqwa Majlis Agama Islam Melaka (Maim) supaya bersama-sama dengan pasukan perubatan mereka untuk menziarahi mangsa selain memberikan bantuan,” katanya.

Menurutnya, diharapkan bantuan yang disampaikan dapat membantu meringankan beban yang ditanggung keluarganya dalam usaha menyembuhkan Mohd Nor.

Sementara itu, Mohd Yusuf bersyukur di atas keprihatinan ADUN kawasan selain agensi lain yang turut sama terlibat menyalurkan bantuan kepada anaknya itu.

“Dengan pendapatan tidak seberapa sebagai penangkap ikan, kami juga tidak mampu membeli keperluannya yang lain seperti susu yang bernilai RM60 satu tin dan lain-lain keperluan,” katanya.

Friday, May 8, 2009

ADUN bantu ringankan beban 4 beradik

Kesedihan kehilangan ibu untuk selama-lamanya oleh empat beradik malang dari Kampung Ulu Duyung, Bemban di sini, dikongsi bersama oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad,

Beliau yang juga Timbalan Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri berkunjung ke rumah anak yatim piatu itu dengan membawa sumbangan dan memberi jaminan masa depan anak-anak malang terbabit akan mendapat pembelaan dari pihak kerajaan.

Menurutnya, keluarga berkenaan sebelum ini ada menerima bantuan makanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sejak beberapa tahun lalu.

''Saya juga telah meminta pegawai MAIM untuk meneliti bentuk bantuan yang sesuai disalurkan kepada mereka memandangkan bantuan yang diperolehi sebelum ini adalah terletak di bawah nama arwah ibu mereka," katanya sewaktu ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, Roranitah Bujang, 17 dan Mohd Aidil Bujang, 14, akan diberi bantuan persekolahan di bawah program Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) bagi menampung persekolahan mereka sehingga tamat pengajian.

Katanya, anak kedua keluarga itu, Noorafeda, 18, yang sedang melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur pula akan dipertimbangkan untuk menerima bantuan pembelajaran daripada agensi sama.

Ujarnya, MAIM akan meneruskan pemberian bantuan barangan makanan kepada keluarga berkenaan menerusi anak sulung, Noor Azilah, 21.

''Sebelum ini, bantuan makanan ini diserahkan atas nama ibu mereka, Allahyarham Rosita Zainal namun ia ditukar kepada nama Noor Azilah.

''Kita amat bersimpati atas nasib yang menimpa keluarga itu dan dengan sumbangan berkenaan diharap akan mengurangkan sedikit bebanan yang ditanggung mereka,'' katanya.

Beliau turut meminta simpati dan bantuan daripada pelbagai pihak khususnya badan korporat di negeri ini agar mengambil inisiatif membantu meringankan penderitaan hidup yang dialami oleh empat beradik malang terbabit.

Hari Ibu tinggal kenangan


Tanggal 10 Mei setiap tahun sentiasa dinantinanti oleh empat beradik dari Kampung Ulu Duyung, Bemban di sini untuk meraikan insan tersayang buat mereka yang bergelar ibu.

Seperti anak-anak yang lain, empat beradik ini yang tidak berbapa, sudah sibuk merencanakan rancangan untuk meraikan Hari Ibu buat ibu tersayang, Rosita Zainal, 45, sempena hari istimewa itu.

Namun, pada Ahad lalu, impian itu musnah untuk selama-lamanya apabila ibu tersayang terlibat dalam kemalangan dipercayai dilanggar oleh kenderaan sewaktu menunggu bas untuk ke tempat kerja di Melaka Sentral kira-kira pukul 7 pagi.

''Kami adik-beradik sudah merancang untuk membawa ibu bersiar-siar di pusat bandar dan menonton wayang filem Hindustan kerana ibu amat meminati filem itu.

''Malah, salah seorang adik yang masih belajar di Kuala Lumpur sudah berpesan untuk balik pada Hari Ibu untuk bersama-sama meraikan ibu namun nampaknya cita-cita kami tidak kesampaian," kata anak sulung empat beradik itu, Noorazila Bujang, 21, ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Noorazila yang bekerja di Batu Berendam di sini, berkata, mereka kini sudah menjadi anak yatim piatu memandangkan bapanya telah lebih awal meninggalkan mereka kira-kira lapan tahun lalu.

Menurutnya, sebelum tragedi malang menimpa ibunya, kelakuan ibunya agak pelik kerana menyatakan hasrat untuk meminjam pakaiannya.

''Malam sebelum kejadian, arwah ibu menyatakan keinginan untuk memakai pakaian saya, walaupun berasa pelik dengan hasratnya, saya tetap mengizinkan arwah untuk memakai pakaian saya," katanya.

Katanya, dia kini perlu menjaga dua daripada tiga adiknya yang lain iaitu Roranitah Bujang, 17, dan Mohd. Aidil Bujang, 14, kerana masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Bemban.

''Kami empat adik beradik kini lebih tabah untuk meneruskan kehidupan ini walaupun kami tiada lagi ibu dan ayah.

''Sambutan Hari Ibu yang lalu bersama ibu kini tinggal hanya kenangan paling manis buat kami empat beradik," katanya.

Seorang lagi adik Noorazila, Noorafeda Bujang, 18, sedang menjalani kursus dandanan di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.

Ketika ini, empat beradik berkenaan tinggal bersama nenek mereka, Rahmah Kassim di kampung berkenaan.

Pada kejadian Ahad lalu, Rosita dikatakan sedang menunggu bas di hadapan rumahnya apabila mangsa tiba-tiba dirempuh sebuah kereta dipandu seorang remaja berusia 21 tahun

Monday, May 4, 2009

Mangsa Kebakaran Dapat Perhatian Segera

Sebuah keluarga yang menjadi mangsa bencana alam akibat kebakaran di Kampung Tedong dekat sini mendapat perhatian kerajaan negeri hari ini.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Akbar Ali berkata, keluarga Jaafar Mohd Noh 49, mengalami kerugian hampir RM100,000 apabila rumahnya hangus dijilat api pada jam 4.00 petang kelmarin.

Akbar yang juga Yang Di Pertua Pertubuhan Kesejahteraan Ummah (PKU) berkata, sumbangan berbentuk pakaian terpakai, pakaian baru serta keperluan lain disampaikan kepada keluarga berkenaan bagi meringankan beban mangsa.

"Saya difahamkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Serkam, Ghazale Othman dan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah telahpun melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa serta merta sebaik mereka ditimpa bencana ini," katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) pada majlis penyampaian sumbangan pakaian di Tedong.

Hadir sama dalam majlis itu, Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Abu Bakar Abdol, Pembantu JKM Kawasan Tedong, Omar Othman, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tedong, Abdul Mutalib Husin.

Akbar berkata, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam juga telah meluluskan segera rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada keluarga berkenaan.

Tambahnya, bantuan TAPEM pula akan menyusul bagi membantu meringankan beban anak mangsa untuk ke sekolah.

Jelasnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyediakan peruntukkan untuk membantu meringankan beban mangsa.

"Kelulusan serta merta Ketua Menteri membuktikan rakyat didahulukan dan kelulusan segera agensi -agensi kerajaan bukti pencapaian diutamakan," katanya lagi.

Tambahnya, apa yang dilaksanakan itu selaras dengan konsep 1 Malaysia sekaligus memperkukuhkan iltizam beliau membantu rakyat meningkatkan sistem penyampaian kerajaan.

Sementara itu, Abu Bakar ketika ditemui berkata, TAPEM akan memberikan dua pasang baju kepada dua orang anaknya yang masih bersekolah rendah manakala biasiswa RM600 setahun kepada seorang anaknya di sekolah menengah.

Katanya, bagi seorang anaknya lagi yang belajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) akan difikirkan bentuk bantuan yang sesuai bagi meringankan beban mereka.

Sementara itu, Jaafar ketika ditemui melahirkan rasa terharu dengan kepimpinan kerajaan negeri yang begitu prihatin dengan nasib rakyat.

Menurutnya, pemberian rumah PPRT daripada kerajaan khususnya daripada Ketua Menteri merupakan satu penghargaan paling bermakna mereka sekeluarga.

"Terima kasih kepada pihak-pihak terbabit yang menyampaikan bantuan segera kepada kami," katanya lagi.