Tuesday, February 10, 2009

13 Peniaga Terima Cek Pinjaman TEKUN

Para peniaga kecil di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, di sini menerima cek pinjaman untuk menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan hari ini.

Cek pinjaman membabitkan seramai 13 peniaga itu telah telah diterimanya dari Pengurus Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Parlimen Jasin, Ismail Osman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad berkata, usaha Tekun untuk membantu peniaga harus dihargai kerana ia merupakan salah satu usaha untuk menggalakkan kaum Bumiputera menjalankan aktiviti perniagaan.

Katanya, dengan adanya semangat dan minat untuk menjalankan aktiviti perniagaan seperti ini masyarakat yang tinggal di desa juga berkesempatan memperolehi kejayaan seperti bangsa lain di dalam bidang perniagaan.

“Justeru itu, saya yakin usaha penduduk di kawasan DUN Serkam yang menjalankan aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan ini akan dapat berkembang maju.

"Ini memandangkan bidang perniagaan merupakan bidang yang boleh diceburi oleh sesiapa saja,” katanya berucap di Majlis Penyampaian Cek Tekun kepada 13 penerima di Kompleks Japerun Serkam, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Jasin, Zaleha Bujang; Yang Dipertua Pertubuhan Peniaga Kecil Melaka Cawangan Merlimau, Ahmad Sujad; Ketua Wanita UMNO Cawangan Sempang Pekan, Sarini Arshad dan Penyelaras Wanita UMNO DUN Serkam, Khadijah Bahri.

Ghazale turut menjelaskan, para peniaga boleh mendapatkan bantuan, sokongan dan nasihat yang diperlukan terus kepada Tekun bagaimana untuk memastikan perniagaan yang diusahakan akan terus mendapat tempat di hati pelanggan.

Justeru itu, dengan pemberian cek pinjaman kepada para peniaga ini, diharapkan dapat membantu mereka mengembangkan perniagaan, sekaligus menaikkan semangat memajukan perniagaan mereka di masa depan.