Ketua Menteri , Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam dan seluruh rakyat Melaka menyampaikan salam takziah kepada keluarga dua beradik yang lemas di kolam takungan air di Pulau Besar, baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi MAIM, Ghazale Muhamad berkata, atas rasa keprihatinan Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah menghulurkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada keluarga mangsa.
Beliau berkata demikian ketika melawat dan menyampaikan sumbangan kepada bapa mangsa, Akbar Ali Habeeb Rahmathullahan, 33, di Taman Cempaka, Ampang, Selangor, baru-baru ini.
Jelas Ghazale, pihak pengurusan di Pulau Besar telah mengambil inisiatif dengan menimbus serta -merta kolam takungan air itu bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.
“Kolam takungan air tersebut dibina sekitar 1980an untuk membekalkan air di hotel Pulau Besar, tetapi pulau itu kini telah menggunakan bekalan air paip.
“Kita berharap pengunjung-pengunjung yang datang melawat ke Pulau Besar agar sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka kerana pulau ini mempunyai hutan dan tempat-tempat yang sunyi serta jauh dari orang ramai”, ujarnya lagi.
Dalam kejadian tersebut, ibu mangsa, Shahitha Banu Ahmad, 31 mendakwa anaknya, Muhd Ashiq, 7 dan Muhammad Firdaus, 3, disedari hilang pada jam 3.45 petang.
Berikutan itu, dia dan suami serta ahli keluarganya yang lain telah melakukan usaha mencari anaknya dengan bantuan orang ramai dan anggota polis di sekitar pulau tersebut.
Bagaimanapun, mayat dua beradik itu ditemui terapung di takungan air pulau itu antara jam 10 dan 11 pagi pada keesokan harinya.