“Bantuan akan diberi kepada keluarga mereka dan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) akan membayar wang sewaan setiap bulan untuk rumah yang akan diduduki selepas mereka berpindah.” Demikian kata Timbalan Pengerusi Maim, Ghazale Mohamad.
Menurutnya, Maim akan bertanggungjawab membayar wang sewa rumah yang akan diduduki keluarga Musa Jamak, 54, sehingga mereka memperoleh kediaman tetap.
“Bantuan tetap akan dihulur bagi meringankan beban keluarga ini. Maim akan membantu mencari rumah dan tawaran rumah di sekitar bandar ini semuanya pangsa, mungkin menyukarkan ibu Musa yang uzur.
“Jika mereka inginkan rumah rendah, terpaksalah mencari di luar pusat bandar. Namun, di mana sahaja mereka hendak menyewa, Maim akan membantu membayar sewa rumah mereka,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Bagaimanapun, mereka perlu keluar dari kediaman sekarang dalam tempoh seminggu seperti yang dinyatakan Musa, dan Maim tidak mendesak dan memberi kelonggaran.
Ghazale berkata, mereka akan memberi tempoh untuk keluarga itu berpindah dan projek membina Hotel Aakaf akan dimulakan secepat mungkin selepas upacara pecah tanah yang dilaksanakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kelmarin.
Terdahulu, Musa sekeluarga diarah berpindah dari rumah yang didiami sejak 50 tahun lalu bagi memberi laluan kepada pembinaan hotel di kawasan berkenaan.
Musa yang langsung tidak mengetahui tanah wakaf itu milik Maim, buntu berikutan menerima notis perlu mengosongkan tanah dan rumah didudukinya dalam masa 14 hari bagi membolehkan projek pembangunan itu dilaksanakan segera.