Tuesday, February 10, 2009

Tekun Jasin sediakan pinjaman segera

Tekun Nasional (Tekun) Parlimen Jasin menyediakan pinjaman segera berjumlah RM200,000 bagi membantu 48 usahawan Bumiputera dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam untuk menaik taraf perniagaan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad berkata, pinjaman tersebut disalurkan kepada peniaga industri kecil dan sederhana (IKS), nelayan dan pengusaha jahitan di daerah itu bagi membolehkan golongan itu membesarkan lagi perniagaan masing-masing.

Menurutnya, langkah itu bertujuan bagi membolehkan golongan terbabit meningkatkan pendapatan masing-masing melalui perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan mereka pada waktu ini.

‘‘Jumlah tersebut merupakan sebahagian peruntukan keseluruhan RM300,000 yang dikhaskan oleh kerajaan negeri untuk diberikan kepada golongan miskin di negeri ini bagi yang ingin menceburi bidang perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan mesin jahit berjumlah RM2,500 kepada Pergerakan Wanita UMNO cawangan Sempang yang menjalankan perusahaan jahitan dan sulaman songkok di sini hari ini.

Ghazale yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, selain pinjaman Tekun, pihaknya juga akan mengerakkan saluran peruntukan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebagai alternatif bagi menambah pendapatan golongan berkenaan.

Menurutnya, usaha tersebut adalah sebahagian langkah yang diambil oleh kerajaan negeri dan agensi terbabit untuk memastikan golongan berkenaan tidak terus dibelenggu dengan masalah kemiskinan.