Tuesday, April 28, 2009

Semai Perasaan Kasih Sayang Sesama Kita

Kira-kira 300 umat Islam Kampung Berangan Enam menyertai majlis perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kampung itu di sini, kelmarin.

Majlis perasmian sambutan itu dirasmikan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazalee Mohamad.

Turut serta dalam perarakan itu, Pengerusi JKKK Kampung Berangan Enam, Sahat Muhamad; Ketua UMNO Cawangan kampung itu, Darus Jantan dan Setiausaha Japerun DUN Serkam, Ramlan Mohd Ali.

Terdahulu dalam ucapannya, Ghazalee mengucapkan tahniah kepada pemimpin masyarakat kerana dapat mengadakan perarakan Maulidur Rasul itu dengan penyertaan yang ramai khususnya anak-anak kampung tersebut.

Justeru Ghazalee berharap majlis itu akan dapat diteruskan setiap tahun bagi menyemai semangat cintakan Rasulullah dan agama.

"Umat Islam perlu menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai hari untuk memperingati ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad S.A.W dan mencontohi perjuangan Baginda dalam menegakkan syiar Islam.

"Hasil dari kesatuan dan kedaulatan Islam, Baginda telah mencipta kegemilangan dan memartabatkan umat Islam hingga ke hari ini,” katanya.

Ghazalee turut menyeru umat Islam agar sama-sama bersatu padu dan mempunyai kasih sayang di antara satu sama lain, sebagaimana yang telah diamalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Katanya, Sebagai muslim yang sejati sudah semestinya kita, menghayati segala pengajaran yang telah disampaikan oleh Nabi kita, Muhammad S.A.W. sejauh mana dugaan yang telah dilalui Baginda bagi menyebarkan dakwah Islamiah kepada umat Islam.

Peserta yang terdiri dari kumpulan pelajar, agensi Kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu kemudiannya memulakan perarakan dengan berselawat beramai-ramai bermula dari Sekolah Agama JAIM Berangan Enam mengelilingi Kampung itu sejauh dua kilomter dan berakhir di Masjid Baitul Rahman di kampung terbabit.

Majlis sambutan perarakan Maulidur Rasul itu kemudiannya diakhiri dengan majlis ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Sidek Md. Raus.

Sunday, April 26, 2009

DUN Serkam Dilanda Banjir

Banjir yang melanda beberapa buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, semalam antara yang terburuk pernah berlaku kepada penduduk di kawasan itu.

Seorang penduduk di Solok Sungai Sembilang Kampung Umbai, Halimah Tahir, 66 berkata, hujan lebat seawal 3.30 pagi itu menyebabkan dia dan anaknya tidak sempat selamatkan barangan rumah.

Katanya, sewaktu kejadian, dia sedang tidur dan tersedar apabila anaknya mengejutkannya dan memberitahu rumah dinaiki.

“Barangan keperluan seperti peti ais dan perabot rumah tidak sempat kami selamatkan, hanya mesin basuh saja dapat diselamatkan,” katanya sewaktu menerima kunjungan beberapa pegawai jabatan Kerajaan.

Turut meninjau kawasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad dan Penghulu DUN Serkam, Zakaria Abu Bakar.

Halimah berkata, kejadian seperti ini merupakan yang pertama kali berlaku di kampung berkenaan selepas 50 tahun lalu.

“Sejak saya tinggal di sini, tidak pernah rumah saya dinaiki air begitu teruk dan sebelum ini, jika berlaku kejadian hujan lebat, air tidak masuk sampai ke dalam rumah,” katanya.

Sementara seorang penduduk di Kampung Pulai, Azizah Mat Doraman, 38, pula memberitahu, kali terakhir rumahnya dinaiki air ialah pada Disember tahun lalu.

“Selepas itu, kejadian seperti ini tidak pernah berlaku sehingga hujan lebat awal pagi tadi, apabila bangun saja kami sekeluarga terkejut bahagian hadapan rumah kami telah dinaiki air.

“Jika berlaku kejadiaan banjir sebelum ini, keadaannya tidak seteruk seperti ini, air naik hingga paras kira-kira 0.3 meter.

Katanya, walaupun dalam kawasan rumahnya tidak dimasuki air, namun beliau sekeluarga masih dalam keadaan berjaga kerana bimbang air semakin naik dan masuk ke dalam rumah.

“Sebagai persediaan, suami saya sudah bersiap sedia meletakkan barangan keperluan rumah di tempat tinggi bagi mengelakkan ianya rosak,” katanya.

Bapanya, Mat Doraman, 74, yang tinggal di hadapan rumahnya pula berkata, tanaman sayur yang diusahakannya musnah akibat banjir, selain barangan keperluan lain yang tidak sempat diselamatkan.

Friday, April 10, 2009

200 Pelawat Kunjungi Kampung Pulai

Kira-kira 200 pelawat dari seluruh negeri telah berkunjung ke Kampung Pulai dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pulai, Seman Deros berkata, antara pelawat yang pernah datang ke kampung itu terdiri mahasiswa dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan terbaru Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Taman Bunga Melor, Klang, Selangor.

“Mahasiswa dari Universiti Malaya (UM) dan yang terkini dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah datang ke kampung ini mengadakan program homestay di sini selama dua hari,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Sementara itu, kumpulan Pemuda UMNO Cawangan Taman Bunga Melor pula datang menginap di kampung berkenaan bertujuan mengadakan program amal dengan kerjasama Pemuda Cawangan Kampung Pulai.

“Mereka telah mengatur beberapa program amal seperti menyampaikan hamper kepada warga kurang berkemampuan, gotong-royong membersihkan tanah wakaf serta melibatkan diri dalam ceramah agama bersempena sambutan Maulidur Rasul,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Seman, kampung berkenaan turut dikunjungi kumpulan mahasiswa dari semesta keempat Fakulti Kejururawatan UiTM.

“Ketika ke mari, mereka telah memberi rawatan kepada keluarga angkat dan lebih 50 penduduk di kampung ini hadir untuk diperiksa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, terdapat juga produk membuat dodol di kampung berkenaan, selain beberapa produk lain yang berjaya dihasilkan oleh penduduk Kampung Pulai.

Warga Emas Gembira Dapat Sumbangan

Kemas Parlimen Jasin hari ini memberikan perhatian serta menghulurkan sumbangan kepada seorang warga emas yang tinggal seorang di rumahnya Kampung Serkam Darat di sini.

Alimah Mamat, 90, yang cacat pendengaran tinggal seorang diri setelah kesemua anaknya sudah berkeluarga dan menetap di luar kawasan Melaka.

“Saya merasa seronok kerana ada orang sudi hadir ke rumah melawat dan mendengar cerita saya. Saya bosan apabila tinggal berseorangan, selain jiran-jiran yang datang berkunjung untuk menemani saya,” katanya selepas menerima bantuan makanan asas dari Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad di rumahnya hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Jasin, Halim Ahmad, Ketua Penyelia Badan Sukarelawan Al-Taqwa MAjlis Agama Islam Melaka (MAIM), Md Dino Md Delan; Pegawai Perhubungan Kemas Parlimen Jasin, Darus Jantan serta pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah.

Pada lawatan itu, Alimah menerima bantuan keperluan makanan asas seperti minyak masak, beras, milo, susu dan keperluan seharian lain.

Menurut Alimah lagi, barangan keperluan yang disampaikan Kemas Parlimen Jasin ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya untuk membeli barangan makanan seharian.

Sementara itu Ghazalee berkata, memandangkan Alimah tinggal seorang diri di rumah ditambah dengan keadaan fizikalnya yang sudah tidak kuat berjalan justeru, pihaknya mengambil keputusan dengan menyampaikan bantuan makanan ini kepada Alimah.

“Sememangnya kita memandang serius tentang setiap masyarakat yang kurang berkemampuan terutama di kalangan warga emas yang tinggal seorang diri di rumah, jadi perhatian yang lebih perlu diberikan kepada golongan seperti ini,” katanya.

Alimah merupakan antara 15 penerima sumbangan terdiri dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU), kurang kemampuan dan ibu tunggal daripada Kemas Parlimen Jasin yang menjadi secara tahunan bermula tahun 2000 yang lalu.

Sebelum ini, Kemas Parlimen Jasin telah menyampaikan bantuan kepada beberapa penduduk yang berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

Lawatan YB di Kapung Pulai bersama Pemuda cawangan Taman Melur Klang

Thursday, April 9, 2009

Derita warga emas sebatang kara dapat perhatian Kemas

Penderitaan seorang warga emas yang hidup sebatang kara tanpa suami dan anak-anak di Kampung Serkam, mendapat perhatian Kemas dan beberapa pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berkunjung menyampaikan bantuan.

Rokiah @ Habsah Ahmad, 65, yang tinggal sendirian selepas kematian suami dan tidak mempunyai anak, hanya mengharapkan pertolongan daripada jiran tetangga yang datang membantu menguruskan dirinya setiap hari.

“Terima kasih di atas sumbangan serta perhatian terhadap derita saya hidup sebatang kara.

“Mujur ada jiran yang sudi datang membantu menguruskan saya memandangkan keadaan saya yang sering jatuh sakit dan tidak lagi mampu untuk berjalan seperti biasa,” katanya selepas menerima sumbangan Kemas bersempena dengan Program Mesra Rakyat Kemas Parlimen Jasin, kelmarin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhammad; Pegawai Daerah, Halim Ahmad; Ketua Penyelia Badan Sukarelawan Al-Taqwa, Md Dino Md Delan; Pegawai Penyiasat Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Sidek Md Raus serta beberapa pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah.

Pegawai Perhubungan Kemas Parlimen Jasin, Darus Jantan berkata, program ini merupakan salah satu program wajib setiap tahun yang bertujuan memperkenalkan dengan lebih dekat lagi Kemas kepada masyarakat setempat.

“Jika sebelum ini, masyarakat hanya mengetahui Kemas melalui tadika dan aktiviti yang melibatkan wanita, program yang diadakan ini memberi pendedahan bahawa Kemas turut melakukan kerja-kerja amal bagi membantu meringankan beban penduduk yang kurang bernasib baik.

“Menjadi keutamaan Kemas menyampaikan bantuan makanan ini secara bergilir-gilir kepada penduduk kurang berkemampuan untuk mereka turut merasai bahawa masih ada lagi yang memberikan perhatian kepadanya,” katanya.

Menurutnya, Kemas akan memberi penumpuan kepada mereka yang tidak pernah menerima mana-mana bantuan makanan dari agensi atau jabatan supaya mereka tahu diri mereka dihargai.

“Antara mereka yang menerima sumbangan di dalam DUN Serkam ini ialah ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta mereka yang hidup sebatang kara tanpa dijaga oleh sesiapa,” katanya.

Kemas Parlimen Jasin Hulur Sumbangan

Tiada apa yang perlu diucapkan selain ucapan terima kasih di atas keperihatinan kerajaan negeri yang sentiasa memberi pemberian sewajarnya terhadap warga emas dan golongan yang kurang berkemampuan.

Majlis Penyerahan hamperdan sumbangan Program Mesra Rakyat (PMR) kepada warga emas dan golongan yang kurang berkemampuan anjuran Kemas Parlimen Jasin dengan kerjasama Japerun Serkam, Majlis agama Islam Melaka(MAIM) dan jabatan Kebajikan Masyarakat (JKN)Jasin.

Seramai 14 warga emas dan golongan kurang berkemampuan yang tinggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam telah menerima sumbangan tersebut.

Kesemua mereka yang menerima sumbangan tersebut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri terutama Kemas Parlimen Jasin di atas sumbangan yang di hulurkan semalam.

Turut hadir dalam program tersebut, Ahli Undangan Negeri (ADUN) Serkam,Ghazale Muhamad, Pegawai Daerah Jasin,Halim Ahmad, Pegawai Perhubungan Kemas Parlimen Jasin, Darus Jantan serta pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)Jasin.

Aktiviti tersebut merupakan acara tahunan Kemas Parlimen Jasin dan akan di terusakn setiap tahun yang sememangnya menjadi agenda utama kerajaan negeri dalam membasmi kemiskinan tegar di negeri ini untuk melangkah Melaka Negeri Maju 2010 tahun hadapan.

Tuesday, April 7, 2009

Tindakan keterlaluan

Tindakan seumpamanya tidak sepatut berlaku terhadap anak didik yang dalam proses menimba ilmu, apatah lagi di sekolah agama,” kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Ghazale Mohamad.

Ghazale mengulas kejadian seorang pelajar pelajar berusia 11 tahun dari sekolah tahfiz al-Quran yang mendakwa dirotan lebih 20 kali oleh seorang ustaz atas kesalahan tidak disengajakan iaitu menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar lain.

Beliau berkata, seorang guru, terutama guru agama perlu menggunakan pendekatan terbaik dalam mendidik pelajar yang masih mentah dan memerlukan bimbingan.

Katanya, tindakan meronta berlebihan itu boleh dianggap tindakan keterlaluan dan seolah-olah memperlihatkan kewujudan tindakan penderaan ke atas anak didik terbabit.

“Secara tidak langsung ini memberikan imej buruk kepada masyarakat. Saya berpendapat, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku di sebuah sekolah agama, malah sekalipun terdapat kesilapan, tindakan merotan yang dikenakan perlulah berpada-pada,” katanya.