Wednesday, February 25, 2009

JPS setuju kaji masalah nelayan

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersetuju mengkaji semula permasalahan yang dihadapi kira-kira 60 nelayan di Kuala Pantai Siring.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Serkam, Ghazale Muhamad, berkata, persetujuan itu adalah salah satu hasil daripada perjumpaan yang diadakan di Kompleks Japerun Serkam.

Menurutnya, JPS bersetuju untuk membuat kajian terlebih dahulu selain berusaha mendapatkan peruntukkan bagi membina benteng pemecah ombak di sekitar kawasan jeti itu.

“Pelbagai wakil daripada agensi yang terlibat bersama-sama dengan Persatuan Nelayan Pantai Siring turut terlibat membincangkan masalah yang dihadapi nelayan di situ.

“Kita meminta supaya pihak berkenaan dapat membuat benteng pemecah ombak di sekitar jeti bagi mengelakkan ombak besar sampai ke tempat perahu nelayan diletakkan.

“Kita dapati benteng ini adalah salah satu cara untuk mengelakkan ombak merosakkan perahu nelayan.

“Saya yakin kerosakan yang dialami nelayan di jeti itu dapat dikurangkan dengan terbinanya benteng pemecah ombak ini kelak,” katanya.

Ghazale berkata, pihak syarikat yang menguruskan pembinaan jeti baru di kuala itu telah bersetuju untuk mengemas kembali kuala yang cetek setelah jeti itu siap sepenuhnya.

Sinar Harian pada 17 Februari lalu menyiarkan keresahan nelayan apabila kebanyakan perahu mereka rosak teruk berikutan ombak besar yang berlaku di sekitar kawasan jeti itu.

Kebanyakan peralatan dan enjin mereka turut rosak akibat daripada kejadian itu sehingga menyebabkan mereka mengalami kerugian kerana tidak dapat turut ke laut menangkap ikan.

Antara yang hadir pada perjumpaan itu adalah wakil JPS Merlimau, Nordin Ahmad; wakil Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) Hasan Mamat; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulai, Seman Deros; Ketua Penolong Pegawai Daerah, Mohd Sakri Seman; wakil Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Johari Rahim.

Hadir sama termasuk wakil daripada Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Selatan, Adnan Md Daud, Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Zakaria Abu Bakar dan wakil daripada Jabatan Perikanan Negeri, Robert Leong Ho Fook.