Tuesday, February 24, 2009

17 pemilik tanah terima pampasan

Seramai 17 pemilik tanah yang terlibat dalam pengambilan tanah untuk pembinaan Jeti Pantai Siring menerima wang pampasan masing-masing di Kompleks Japerun Serkam ,kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazalee Muhamad berkata, kesemua 17 penerima pampasan itu merupakan mereka yang masih lagi hidup manakala 11 yang lain pula telah meninggal dunia.

“Waris kepada 11 lagi pemilik tanah yang telah meninggal dunia boleh berurusan dengan Amanah Raya Berhad (ARB) untuk pengurusan wang pampasan itu. Diharapkan pemberian pampasan ini dapat menyelesaikan kerja-kerja Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di kawasan terbabit,” katanya.

“Saya yakin, pemberian pampasan ini dapat menyelesaikan segala masalah kerana kerajaan negeri sudah beri ganti rugi kepada pemilik tanah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek pampasan kepada pemilik tanah.

Hadir sama ialah Penolong Pegawai Daerah, Mohd Ikram Ibrahim; Penghulu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Zakaria Abu Bakar dan Setiusaha Japerun Serkam, Ramlan Mohd Ali.

Menurut Ghazale, kesemua mereka yang terbabit diberi pampasan antara RM 29,000 sehingga RM 63,000 meningkut keluasan tanah yang terlibat.

“Pampasan yang diberikan ini adalah peruntukan daripada kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah Daerah,” katanya.

Sementara itu, Ghazale turut memberitahu seorang pemilik tanah yang terlibat dalam pengambilan tanah untuk membina jeti di Muara Serkam kini sedang dalam proses pembayaran.

“Di Jeti Muara Serkam, seorang pemilik tanah yang terlibat dalam pengambilan tanah untuk membangunkan jeti itu sedang dalam proses,” katanya.