Sunday, March 1, 2009

Mohd Farid Berazam Jadi 'Saudagar Keli'

Perkahwinannya dengan seorang anak penternak ikan keli akhirnya menjadi pendorong kepada Mohd Farid Abd. Malek, 34 menceburi bidang ternakan ikan keli berjaya meskipun sebelum ini dia tidak pernah menjamah ikan darat berkenaan.

Mohd Farid dari Kampung Umbai, memberitahu sebaik melangsungkan perkahwinan dengan Noraini Abdullah, dia mencuba merasai ikan yang diternak bapa mertuanya dan tidak menyangka rasanya sungguh enak.

"Dari situlah saya mula minat terhadap ikan keli dan mempelajarinya daripada bapa mertua," katanya pemuda berasal dari Muar, Johor itu yang kini cuba merancang untuk berhenti kerja menumpukan sepenuhnya bidang berkenaan.

Mohd Farid berkata, setelah melakukannya secara kecil-kecil kini sudah sampai masanya dia mengorak langkah lebih jauh dalam penternakan keli dengan meninjau peluang yang diyakini terbuka luas.

"Saya bekerja di sebuah syarikat swasta setelah tamat belajar di Institut Kemahiran Mara (IKM) dalam bidang Fabrikasi Logam dan tidak sangka bidang penternakkan menambat hati saya.

"Semangat yang berkobar-kobar untuk memajukan diri dalam bidang ini setelah mengikuti kursus selama lima hari empat malam dalam bidang penternakan dan pembenihan ikan keli anjuran AgroBank pada Mac tahun lalu.

"Sebelum itu, saya langsung tidak tahu dan melakukan penternakan sekadar ikut-ikut apa yang bapa mertua buat sebelum ini," katanya.

Menurutnya, empat bulan setelah itu, dia membuat pendaftaran syarikat yang dinamakan Kliemas Enterprise yang menumpukan selain bidang penternakan ikan keli malah kursus-kursus penternakan ikan berkenaan.

"Setakat ini terdapat lebih 10,000 ekor ikan keli yang saya ternak dalam beberapa kolam simen di perkarangan rumah saya di sini.

Setakatnya, menurutnya, hasil yang dipasarkan di kawasan persekitaran termasuk di beberapa buah restoran nyata tidak mencukupi.

"Untuk itu saya juga merancang untuk membesarkan lagi bidang ini dengan melakukan penambahan kolam simen, politank dan kanvas.

"Keistimewaan ternakan saya ialah diberikan makanan yang baik berasaskan hampas kacang soya, minyak dan sisa ikan yang diproses. Selain itu, kita turut menggunakan dedak padi, barli dan gandum sebagai sumber kabohidrat," katanya.

Menurut Mohd Farid, bagi memastikan ikan dan kolam lebih bersih dia menggunakan sejenis bahan berasaskan bakteria iaitu 'effective micro organisme' (EM) bagi merawat air kolam.

"Ikan yang menggunakan bahan makanan berkenaan lebih kaya dengan Omega 3 dan mengikut kajian ianya lebih baik daripada ikan salmon.

"Biasanya ikan yang diternak dengan makanan jenis ini harganya lebih mahal sedikit daripada penternakan menggunakan perut ayam dan ayam mati.

Katanya, pasaran borong ikan keli sekarang sekitar RM3.50 hingga RM4.00 dan dijual pada harga kira-kira RM6 sekilogram.

Dia berkata, setakat ini semuanya berjalan lancar apabila syarikat miliknya dilantik Koperasi Usahawan Keli Muar Berhad (KUKMB) sebagai agen bagi memberi bimbingan kepada bakal-bakal usahawan ikan keli.

"Kini kami membantu KUKMB untuk melahirkan kira-kira 400 penternak ikan keli seluruh negara bagi menjayakan industri produk makanan berasas ikan itu yang bakal dipasarkan seluruh negara," katanya.

Beliau memberitahu, setakat ini, sudah lebih 200 penternak mendapat sentuhan daripada pihaknya sehingga mendatangkan pulangan hasil yang lumayan.

KUKMB juga katanya berhasrat mahu mengwujudkan satu rangkaian pengusaha keli di bawah bimbingannya dan sebagai langkah persediaan perlu menyediakan bahan mentah mencukupi selaras dengan permintaan.

"Kita berhasrat mahu menghasilkan pelbagai jenis produk makanan berasaskan ikan keli seperti bebola ikan, ikan beku dan serunding ikan. Semuanya dijangka bakal mendapat pasaran yang tinggi.

Jabatan Perikanan sendiri katanya, menggalakkan masyarakat negara ini memakan ikan darat sebagai sumber protein alternatif menjelang tahun 2010 nanti.

"Bagi yang berminat sebenarnya modalnya amat fleksibel. Jika modal kecil kita boleh lakukan secara kecil-kecilan namun jika besar, besarlah kolam kita.

"Kerajaan sendiri menerusi Jabatan Perikanan mengeluarkan insentif untuk setiap kilogram yang diternakkan dan kini ia menawarkan sebanyak 57 sen setiap kilogram yang dipasarkan bagi ikan keli," katanya.