Wednesday, July 30, 2008

50 bekas petani tembakau mohon segera wang sagu hati

Kira-kira 50 bekas penanam pokok tembakau dari Kampung Sempang meluahkan kekesalan mereka apabila wang sagu
hati sara hidup seperti yang dijanjikan oleh Lembaga Tembakau Negara (LTN) Negeri Melaka sehingga kini masih tidak diperoleh.

Menurut salah seorang bekas penanam pokok tembakau, Baharudin Amby, sebelum pilihan raya diadakan, pihak LTN telah bersetuju untuk memberi sagu hati sara hidup kepada 50 bekas penanam yang bernilai RM 300 setiap seorang.

“Semasa mereka mahu memberikan sagu hati tersebut kami bekas penanam pokok tembakau telah pun mengisi borang sepertimana yang dikehendaki oleh pihak LTN dan borang-borang berkenaan telah pun dihantar sebelum akhir bulan Mac lalu.

“Tetapi sehingga ke hari ini tiada sebarang tindakan diambil dan pihak kami juga tidak mendapat sebarang maklumat lanjut mengenai pemberian pampasan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Manakala menurut Ketua Penanam Tembakau kampung ini, Azmi Amat, pihaknya sering menghubungi LTN tetapi jawapan yang diterima amat mengecewakan.

“Kebanyakan bekas penanam sering bertanyakan kepada saya mengenai wang sagu hati tersebut dan saya selaku ketua kadang-kadang tidak dapat menjawab pertanyaan mereka.

“Ini disebabkan saya sendiri tidak mengetahui tarikh dan masa yang sebenar pihak LTN Negeri akan memberikan wang sagu hati seperti yang telah dijanjikan,” katanya. Tambahnya, adalah menjadi harapan kepada bekas-bekas penanam pokok tembakau agar pihak LTN atau yang terlibat dapat menyegerakan pembayaran wang sagu hati seperti yang telah dijanjikan.

Projek penanaman pokok tembakau di Kampung Sempang telah bermula pada tahun 1990 dan pada tahun yang sama juga projek yang diusahakan oleh 50 penanam ini telah dihentikan.

Ini kerana penanam menghadapi masalah daripada segi harga tembakau yang pada ketika itu tidak menguntungkan sedangkan dakwa mereka kos untuk bahan menanam pokok tersebut terus meningkat dan dianggarkan
terdapat lebih 6,000 hingga ke 7,000 bekas penanam pokok tembakau di negeri ini turut menghadapi masalah yang sama.