Sunday, July 13, 2008

Tunggu Jawapan Dari JPA-Jawatan Tetap Untuk Guru SAR

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, Kerajaan Negeri bersedia memberikan jawatan tetap kepada semua guru-guru Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Sekolah Rendah Agama (SRA), seluruh negeri ini.

Beliau menjelaskan, Kerajaan Negeri telah pun membuat permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai perkara tersebut, namun sehingga kini masih belum lagi menerima sebarang keputusan mengenainya.

"Kerajaan Negeri akan terus merayu kepada JPA supaya dapat memberikan jawatan tetap kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama guru-guru SRA JAIM di Auditorium Masjid Al-Azim di sini, petang tadi.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia, Datuk Yaakub Md. Amin; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ghazalee Mohamad; Pengarah JAIM, Datuk Alias Md. Saad; Ketua Pengarah Bahagian Pendidikan JAIM, Abdul Wahit Kidam.

Semua 156 guru-guru besar SRA JAIM dari seluruh negeri Melaka menghadiri majlis perjumpaan tersebut.

Mohd Ali seterusnya menjelaskan bahawa UMNO Melaka akan membawa satu usul untuk dibentangkan pada Perhimpunan Agung UMNO akan datang mengenai kedudukan guru-guru agama JAIM agar dapat diberikan jawatan tetap oleh JPA.

Setakat ini jelas Ketua Menteri, terdapat seramai 1,311 orang guru-guru SRA JAIM di seluruh negeri.

Katanya, ia melibatkan 918 orang Pembantu Rendah Hal Ehwal Islam Gred S11 dan 393 orang lagi menerima elaun tetap Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM250 selain elaun tetap daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebanyak RM500.

Perjumpaan yang diadakan itu bertujuan memberi ruang percambahan fikiran selain mendapatkan maklumbalas mengenai isu-isu yang berkaitan dengan pendidikan Islam di Melaka.

Selain itu ianya juga bertujuan menghuraikan maklumat terkini berkaitan isu-isu semasa selain dapat menjalinkan silaturahim dan rasa kekeluargaan antara guru-guru dengan Ketua Menteri dan bahagian pendidikan JAIM.