Tuesday, July 8, 2008

Sumber Pendapatan Baru-Warga Desa Ceburi Penghasilan Kraf Rotan.

Seramai 20 peserta dari seluruh negara dipilih menyertai kursus Seni Kraf Kreatif Rotan yang diadakan selama enam hari di Kampung Serkam, dekat sini, bermula hari ini.

Antara negeri menghantar wakil untuk menyertainya adalah negeri Sabah, Sarawak, Pahang, Johor dan Kedah.

Kursus seni kraf kreatif rotan itu, anjuran Bahagian Pendidikan Masyarakat KEMAS di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut berjaya menarik minat warga desa terutama golongan wanita daripada seluruh negara menyertainya.

Penyelia Kanan Pendidikan Kesejahteraan Keluarga (PKK) KEMAS, Zainoriah Mohd Ali berkata, tujuan kursus seni kraf kreatif rotan itu adalah untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran bagi Pemaju Masyarakat PKK mengenai teknik-teknik atau corak-corak anyaman rotan supaya produk-produk yang dihasilkan lebih kreatif, kemas dan menarik.

“Ia juga adalah untuk memberikan latihan dan mempertingkatkan teknik-teknik pembuatan supaya peserta dapat menguasai cara-cara untuk menghasilkan kekemasan produk yang dihasilkan.

“Secara tidak langsung ia dapat mempertingkatkan mutu dan harga sesuatu produk tersebut,” katanya Melaka Hari Ini (MHI) ketika ditemui hari ini.

Di samping itu, kursus itu memberikan pengetahuan bagaimana cara-cara penggunaan peralatan kraf yang dibekalkan serta penyelenggaraan kraf secara betul dan selamat.

Sebelum ini, KEMAS pernah menganjurkan kursus seperti ini iaitu pada tahun 2005 dan 2006 dan pada masa itu ianya dilaksanakan untuk peserta-peserta aktiviti PKK sahaja dengan menggunakan tenaga pengajar Pemaju Masyarakat yang berkebolehan.

Walau bagaimanapun, seni kraf kreatif rotan telah mendapat sokongan dan sambutan daripada masyarakat tempatan berdasarkan daripada laporan yang diterima oleh Ibu Pejabat KEMAS daripada peringkat negeri-negeri.

“Oleh yang demikian pada tahun ini kami sekali lagi menganjurkan program sebegini kepada wakil-wakil Pemaju Masyarakat (PM) yang terpilih.

“Setiap PM yang dipilih untuk menyertai kursus ini merupakan wakil kepada setiap negeri masing-masing dan mereka bakal menjadi tenaga pengajar kepada semua ahli PKK yang berminat untuk mempelajari seni kraf kreatif rotan ini,” katanya lagi.

Tambah Zainoriah, peserta-peserta yang mengikuti aktiviti anjuran PKK sebenarnya boleh menjadikan kraf anyaman rotan sebagai mata pencarian sampingan bagi menambahkan sumber pendapatan keluarga sekiranya mereka berjaya menghasilkan produk yang bermutu dan berkualiti tinggi.

“Pada kursus ini, seorang tenaga pengajar yang berpengalaman akan menilai produk yang dihasilkan setiap peserta dan memberikan serba sedikit teguran bagi memperbaiki kesilapan dan kelemahan yang ada pada produk mereka.

“ Unit PKK turut mencadangankan supaya teknik-teknik serta corak-corak anyaman rotan ini diberi perhatian oleh PKK lain supaya segala ilmu yang dipelajari oleh peserta di sini, boleh dimajukan pula kepada pelajar-pelajar lain selepas mereka pulang ke negeri masing-masing,” tambahnya.