Thursday, July 24, 2008

Lengkapkan Diri Dengan Ilmu Pengetahuan

Penjawat awam di negeri ini disaran melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu pengetahuan terutama membabitkan isu yang berkaitan politik negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Serkam, Ghazale Muhamad berkata, penambahan ilmu berkaitan isu semasa dan pendedahan mengenai peranan penjawat awam itu penting dalam usaha memperoleh status penjawat awam bertaraf dunia.

"Pendedahan ilmu itu penting supaya penjawat awam diiktiraf dunia sekaligus dapat bersiap sedia dengan visi dan misi kerajaan negeri menjelang Melaka Maju 2010," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Kursus Peranan Penjawat Awam Ke Arah Bertaraf Dunia Bagi Pegawai dan Kakitangan Awam Negeri Melaka Siri 7/2008 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurut Ghazale, kursus itu bertujuan memberi pemahaman tentang budaya kerja dan cabaran-cabaran yang perlu ditangani, selain melahirkan pegawai dan kakitangan yang lebih produktif melalui peningkatan disiplin, daya saing, kecekapan dan amanah.

"Melalui kursus ini, diharap penjawat awam faham akan cita-cita kerajaan dalam menyampaikan maklumat kepada orang awam kerana mereka sering berjumpa dengan orang awam," ujarnya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam (MAIM) berkata, kursus yang disertai 26 pegawai dan kakitangan awam negeri Melaka itu telah berlangsung selama empat hari yang berakhir hari ini.

Kursus anjuran Institut Pengurusan Melaka (IMM) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mengenengahkan 12 modul termasuk tiga latihan kelompok dinamik.

Modul-modul tersebut, antaranya berkaitan protokol dan etiket sosial negeri, membentuk nilai murni penjawat awam ke arah bertaraf dunia, sistem penyampaian (delivery system) yang cekap dan berkesan, 'Key Performence Indicators' (KPI) dan isu-isu politik tanahair.