Sebanyak RM13.5 bilion telah diperuntukan bagi menaiktaraf infrastruktur sekolah, menyediakan kemudahan ICT serta menggalakkan lebih ramai para guru berpengalaman untuk berkhidmat di luar bandar, Kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Katanya, peruntukan tersebut adalah bertujuan memperkukuhkan lagi program pendidikan dan latihan di negara ini sebagaimana yang telah di umumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerusi pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9) pada 26 Jun yang lalu.
"Bagi kerajaan negeri, langkah berkenaan adalah satu usaha bagi memperkasakan sistem pembelajaran anak-anak di peringkat menengah dan rendah yang seharusnya disokong oleh semua pihak," jelasnya.
Mohd Ali berkata demikian semasa berucap di majlis Penutupan Konvensyen Mari Belajar peringkat Kampung(2 Jam 3 Jam) negeri Melaka 2008, di Balai Raya Kampung Pulai, di sini petang tadi.
Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad.
Turut hadir di program tersebut Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah; Pengarah Risda Negeri Melaka, Sukiman Sulong; Pegawai Daerah Jasin, Mohd Zin Mansor dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pulai merangkap Pengerusi Bersama program, Seman Deros.
Ujarnya, Kerajaan Negeri berpendapat dengan penambahan peruntukan tersebut membuktikan keprihatinan Kerajaan di dalam bidang pendidikan.
"Kita bersyukur, dalam suasana ekonomi yang mencabar, bidang pendidikan terus menjadi keutamaan Kerajaan dan lebih menarik lagi ia bersandarkan kepada teras yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Lima Tahun Kementerian Pelajaran Malaysia," katanya.
"Walaupun Kementerian Pelajaran Malaysia menerima peruntukkan tertinggi di dalam RMK-9, namun Kerajaan tetap menambah peruntukan di dalam kajian separuh penggal, ini menunjukkan dalam apa jua suasana ekonomi dan politik yang melanda negara, kita konsisten untuk meningkatkan taraf pendidikan rakyat," ujar Mohd Ali.
Sehubungan dengan itu terangnya, Kerajaan Negeri menyeru kepada masyarakat di semua peringkat supaya merebut peluang yang ada ini untuk memastikan tahap pendidikan anak-anak, diri dan ahli keluarga sentiasa meningkat, sekali gus mencapai hasrat dalam melahirkan masyarakat minda kelas pertama di negara ini.
Katanya, pembangunan sesebuah masyarakat adalah menjadi hasrat dan tanggungjawab pihak pemerintah yang selama ini sedaya upaya untuk membangunkan masyarakat sama ada di desa mahupun di luar bandar.
"Kesungguhan ini telah terbukti dengan wujudnya beberapa dasar yang terbaru seperti Gerakan Desa Wawasan (GDW) yang kini dikenali sebagai Gerakan Daya Wawasan, Satu Kampung Satu Produk dan sebagainya," jelasnya.
Oleh itu tambahnya, pendedahan sesuatu input kepada masyarakat amat penting sekali. contohnya, anak-anak perlu diberikan pendedahan kaedah pembelajaran yang betul dan peluang-peluang pendidikan tertinggi supaya mereka tertanam azam dan cita-cita untuk menuntut ilmu.
"Tanpa pendedahan itu, hasrat dan cita-cita mereka menjadi kabur dan natijahnya, masyarakat yang ada tidak berpendidikan seterusnya akan memundurkan negara," tegasnya.