Seramai 29 mangsa banjir di beberapa kawasan sekitar Serkam bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan berupa wang tunai dari Kerajaan Negeri yang diterima oleh mereka hari ini.
Majlis penyampaian sumbangan tersebut dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad.
Sumbangan diberikan oleh kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Jasin (PDJ) disalurkan melalui Japerun Serkam.
Kesemua penerima sumbangan adalah dari kawasan Umbai, Tedong dan Taman Datuk Abdul Aziz yang dilanda banjir kilat 25 Mei lalu.
Ghazale berkata , pihaknya berasa simpati dengan mangsa dan berharap sumbangan yang diterima dapat digunakan dengan sebaik mungkin.
Selain itu, beliau turut menyeru penduduk di kampung-kampung khususnya supaya dapat menjaga sistem perparitan mereka agar tidak tersumbat.
“Saya menyeru kepada masyarakat desa supaya dapat bekerjasama membersihkan sistem perparitan yang berada di hadapan rumah mereka supaya tidak tersumbat bagi mengelak berlakunya banjir kilat.
“Kebiasaannya banjir kilat berlaku adalah disebabkan keadaan parit atau longkang berdekatan kediaman mangsa yang tidak terurus dan tersumbat.
“Jadi apabila sistem perparitan tidak sempurna bagaimana air hujan hendak mengalir dengan baik dan seterusnya air hujan akan melimpah dan membanjiri rumah mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Tambah beliau, adalah menjadi tanggungjawab setiap penduduk agar dapat menjaga kebersihan persekitaran kediaman selain memastikan sistem peparitan sempurna.
“Jika boleh amalkan kebersihan dan bergotong-royong bersama-sama membersihkan longkang-longkang yang terdapat di hadapan rumah kita. Jika keadaan longkang-longkang di hadapan rumah kita tidak bersih dan tidak sempurna jangan mengharapkan bantuan orang lain datang untuk membersihkannya tetapi adalah lebih baik kita sendiri yang membersihkannya.
“Jangan biarkan sampah sarap serta bahan-bahan lain dibuang ke dalam longkang dan dibiarkan begitu sahaja hingga berbau busuk,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, Ghazale pernah menyampaikan sumbangan kepada 19 mangsa banjir dan sumbangan pada kali ini merupakan sumbangan kali kedua yang disampaikan kepada mangsa banjir kilat semenjak beliau menjadi ADUN Serkam.
Turut hadir pada majlis penyerahan sumbangan tersebut adalah Setiusaha Japerun Serkam, Ramlan Mohd Ali dan Penghulu DUN Serkam, Zakaria Abu Bakar.