Wednesday, July 16, 2008

Ibu Tunggal Terima Tujuh Ekor Lembu Baka

Seorang ibu tunggal, Kamariah Othman,35, melahirkan rasa gembiranya apabila menerima bantuan Program Peningkatan Pendapatan(PPP) berupa tujuh ekor lembu.Peruntukkan berkenaan adalah di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Pejabat Daerah dan Tanah Jasin yang menyediakan sejumlah RM10,000 termasuk lembu, makanan dan pelbagai aktiviti lain untuk setiap peserta.

Penyerahan lembu-lembu itu telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Serkam, Ghazale Muhammad; bersama Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Zakaria Abu Bakar dan Penolong Pegawai Daerah Jasin Bahagian Pembangunan Sakri.Ghazale berkata,program PPP itu merupakan yang pertama di kawasan Serkam membabitkan seramai 12 peserta di sekitar Jasin yang telah menyertai program PPP itu dan ianya di bawah seliaan Penghulu DUN masing-masing.

"Antara peserta yang telah menyertai Program PPP terdiri daripada DUN Asahan, Merlimau dan Rim."Tujuan program berkenaan adalah untuk membantu golongan miskin yang terdapat di kawasan ini, selain bagi melepasi garis paras kemiskinan penduduk,"Katanya kepada Melaka Hari ini (MHI), dekat sini.

Sementara itu, Kamariah mengucapkan syukur ke atas bantuan yang di berikan dan berharap agar bantuan berkenaan membantunya mengubah kehidupannya."Saya berazam agar lembu-lembu ini dapat dibiakkan dengan lebih banyak, di samping hasil yang di perolehi akan dapat di gunakan sebaik mungkin demi untuk mengubah kehidupan saya dan keluarga,"jelasnya.