Sunday, July 27, 2008

11 sekolah terima peruntukan

Kira-kira 11 buah sekolah menengah dan sekolah rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam menerima peruntukan daripada kerajaan Negeri bagi membantu pihak pentadbiran sekolah mengendalikan kelas bimbingan dan tambahan untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad, bantuan daripada Yayasan Melaka ini mula diperkenalkan sejak tahun 2000 lagi dan ia merupakan salah satu usaha kerajaan negeri bagi mempertingkatkan pencapaian akademik para pelajar.

Kerajaan sebelum ini telah menetapkan peruntukkan sebanyak RM2,000 bagi sekolah rendah manakala sekolah menengah pula menerima RM4,800 bagi menampung segala perbelanjaan yang melibatkan pelajar menjelang musim peperiksaan.

Oleh yang demikian sebanyak dua buah sekolah menengah dan sembilan buah sekolah rendah yang berada di dalam kawasan Dun Serkam telah menerima bantuan.

“Dengan peruntukan yang disediakan ini diharap ia dapat memberi semangat kepada para pelajar yang akan mengambil peperiksaan besar selain pihak pentadbir sekolah dapat menganjurkan bengkel-bengkel atau seminar-seminar untuk mereka.

“Apa yang diharapkan agar bantuan seperti ini dapat mewujudkan peluang serta semangat jati diri yang kuat di dalam diri pelajar terbabit supaya dapat belajar dengan lebih tekun,” katanya selepas menyampaikan sumbangan berbentuk cek kepada guru-guru besar dan pengetua sekolah di Sekolah Menengah Sri Mahkota.

Tambahnya, dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk menghantar anak-anak :mereka: ke kelas bimbingan.

Ghazale menyeru kepada golongan pelajar khususnya yang berada di dalam kawasan Dun Serkam supaya dapat memberikan yang terbaik semasa menghadapi peperiksaan kelak di samping dapat menggunakan sumbangan yang diberikan sebaik mungkin demi menjadikan Negeri Melaka sebagai salah sebuah negeri yang berjaya mencatatkan rating tertinggi di dalam keputusan peperiksaan pada tahun ini.

Turut hadir pada majlis penyerahan cek sumbangan tersebut adalah Ketua Unit Hal Ehwal Murid (HEM) Pejabat Pelajaran Daerah Jasin, Tuah Talip, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Jasin, Jumat Mat Lani, Setiausaha Japerun Dun Serkam serta Ramlan Mohd Ali.