Thursday, August 7, 2008

Nelayan diminta bersatu

Nelayan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan di sekitar Pantai Siring diseru agar dapat bersatu-padu dan saling bekerjasama dalam usaha menangani setiap masalah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad mengadakan perjumpaan bersama kira-kira 48 nelayan di Pantai Siring bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh mereka.

“Sebelum ini telah berlaku salah faham di antara sesama nelayan mengenai terdapatnya persatuan nelayan lama yang tidak aktif sejak tahun 2003 lagi.

“Oleh kerana keadaan tersebut, nelayan di sini mengambil inisiatif lain dengan menubuhkan sebuah persatuan nelayan baru pada tahun 2005. Dari situ timbullah masalah di antara persatuan lama dan baru,” jelasnya semasa sesi perjumpaan yang diadakan di jeti Pantai Siring.

Katanya, adalah penting bagi nelayan di sekitar Pantai Siring itu bekerjasama dengan memberikan sokongan kepada persatuan baru memandangkan persatuan yang lama sudah tidak aktif.

“Saya menyeru kepada para nelayan di sini supaya jangan berbalah sesama mereka sebaliknya memilih hanya sebuah persatuan sahaja bagi menjalankan aktiviti dan membela nasib mereka.

“Pada pandangan saya setiap nelayan harus memberi tumpuan kepada persatuan baru demi kebaikan mereka bersama,” tambahnya.

Ghazale berkata ia penting sebagai langkah persediaan nelayan tersebut memandangkan terdapat projek yang sedang diusahakan oleh pihak kerajaan untuk pembangunan jeti baru di Pantai Siring.

“Tujuan kita meminta nelayan bermuafakat disebabkan terdapat projek pembangunan jeti baru di Pantai Siring. Projek ini yang menelan belanja sebanyak RM 3.5 juta bakal bermula tidak lama lagi.

“Justeru, kita tidak mahu melihat persengketaan di antara sesama nelayan semasa projek pembangunan jeti baru ini dijalankan kelak,” ujarnya.

Beliau berharap agar projek pembangunan ini dapat dijalankan tanpa sebarang gangguan dan berharap semua pihak bekerjasama.

Turut hadir sama di dalam mesyuarat tersebut ialah Sidang Kampung Pulai, Mohd Ali Husin, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Seman Deros, Pengerusi Nelayan Kampung Pulai, Seman Comel dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Kampung Pulai Biro Nelayan, Rosman Hashim.