Sunday, July 6, 2008

Tedong juara Sukan Melaka DUN Serkam

Pasukan bola jaring Tedong telah diumumkan sebagai juara Sukan Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam dan berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai berserta piala pusingan.

Menurut Penyelaras Sukan Melaka DUN Serkam, Rosli Jantan, pertandingan bola jaring Sukan Melaka ini telah berjaya menarik sepuluh pasukan untuk menyertainya.

“Sambutan yang diterima pada hari ini oleh peserta wanita yang berada di sekitar Serkam ini amat memberangsangkan.

“Selain itu, ia turut mendapat penyertaan daripada pelbagai peringkat umur yang terdiri daripada belasan tahun sehingga kepada ibu-ibu.

“Pihak suami dan ibu bapa juga turut hadir memberikan sokongan kepada peserta yang bertanding pada hari ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, pertandingan pada kali dianggap berjaya kerana dapat mendekatkan lagi hubungan antara penduduk dan juga pihak penganjur.

“Acara tahunan ini dilihat semakin mendapat perhatian daripada golongan wanita terutamanya kaum ibu yang sebelum ini tidak pernah menyertai sebarang aktiviti sukan.

“Mungkin disebabkan peluang ini boleh digunakan untuk mengisi masa lapang selain turut berfungsi sebagai salah satu aktiviti riadah yang boleh menyihatkan badan dan otak,” katanya.

Penyertaan daripada wanita di kalangan ibu-ibu pada kali ini dilihat semakin bertambah berbanding penyertaan mereka pada tahun sebelumnya.

Penyampaian hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad dan isteri, Rubiah Edris.

Naib Johan pertandingan adalah pasukan daripada Tedong Pekan manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan Berangan Enam.

Pemenang menerima wang tunai sumbangan Japerun Serkam dan piala pusingan serta hadiah lain.