Tuesday, April 28, 2009

Semai Perasaan Kasih Sayang Sesama Kita

Kira-kira 300 umat Islam Kampung Berangan Enam menyertai majlis perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kampung itu di sini, kelmarin.

Majlis perasmian sambutan itu dirasmikan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazalee Mohamad.

Turut serta dalam perarakan itu, Pengerusi JKKK Kampung Berangan Enam, Sahat Muhamad; Ketua UMNO Cawangan kampung itu, Darus Jantan dan Setiausaha Japerun DUN Serkam, Ramlan Mohd Ali.

Terdahulu dalam ucapannya, Ghazalee mengucapkan tahniah kepada pemimpin masyarakat kerana dapat mengadakan perarakan Maulidur Rasul itu dengan penyertaan yang ramai khususnya anak-anak kampung tersebut.

Justeru Ghazalee berharap majlis itu akan dapat diteruskan setiap tahun bagi menyemai semangat cintakan Rasulullah dan agama.

"Umat Islam perlu menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai hari untuk memperingati ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad S.A.W dan mencontohi perjuangan Baginda dalam menegakkan syiar Islam.

"Hasil dari kesatuan dan kedaulatan Islam, Baginda telah mencipta kegemilangan dan memartabatkan umat Islam hingga ke hari ini,” katanya.

Ghazalee turut menyeru umat Islam agar sama-sama bersatu padu dan mempunyai kasih sayang di antara satu sama lain, sebagaimana yang telah diamalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Katanya, Sebagai muslim yang sejati sudah semestinya kita, menghayati segala pengajaran yang telah disampaikan oleh Nabi kita, Muhammad S.A.W. sejauh mana dugaan yang telah dilalui Baginda bagi menyebarkan dakwah Islamiah kepada umat Islam.

Peserta yang terdiri dari kumpulan pelajar, agensi Kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu kemudiannya memulakan perarakan dengan berselawat beramai-ramai bermula dari Sekolah Agama JAIM Berangan Enam mengelilingi Kampung itu sejauh dua kilomter dan berakhir di Masjid Baitul Rahman di kampung terbabit.

Majlis sambutan perarakan Maulidur Rasul itu kemudiannya diakhiri dengan majlis ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Sidek Md. Raus.