Banjir yang melanda beberapa buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, semalam antara yang terburuk pernah berlaku kepada penduduk di kawasan itu.
Seorang penduduk di Solok Sungai Sembilang Kampung Umbai, Halimah Tahir, 66 berkata, hujan lebat seawal 3.30 pagi itu menyebabkan dia dan anaknya tidak sempat selamatkan barangan rumah.
Katanya, sewaktu kejadian, dia sedang tidur dan tersedar apabila anaknya mengejutkannya dan memberitahu rumah dinaiki.
“Barangan keperluan seperti peti ais dan perabot rumah tidak sempat kami selamatkan, hanya mesin basuh saja dapat diselamatkan,” katanya sewaktu menerima kunjungan beberapa pegawai jabatan Kerajaan.
Turut meninjau kawasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad dan Penghulu DUN Serkam, Zakaria Abu Bakar.
Halimah berkata, kejadian seperti ini merupakan yang pertama kali berlaku di kampung berkenaan selepas 50 tahun lalu.
“Sejak saya tinggal di sini, tidak pernah rumah saya dinaiki air begitu teruk dan sebelum ini, jika berlaku kejadian hujan lebat, air tidak masuk sampai ke dalam rumah,” katanya.
Sementara seorang penduduk di Kampung Pulai, Azizah Mat Doraman, 38, pula memberitahu, kali terakhir rumahnya dinaiki air ialah pada Disember tahun lalu.
“Selepas itu, kejadian seperti ini tidak pernah berlaku sehingga hujan lebat awal pagi tadi, apabila bangun saja kami sekeluarga terkejut bahagian hadapan rumah kami telah dinaiki air.
“Jika berlaku kejadiaan banjir sebelum ini, keadaannya tidak seteruk seperti ini, air naik hingga paras kira-kira 0.3 meter.
Katanya, walaupun dalam kawasan rumahnya tidak dimasuki air, namun beliau sekeluarga masih dalam keadaan berjaga kerana bimbang air semakin naik dan masuk ke dalam rumah.
“Sebagai persediaan, suami saya sudah bersiap sedia meletakkan barangan keperluan rumah di tempat tinggi bagi mengelakkan ianya rosak,” katanya.
Bapanya, Mat Doraman, 74, yang tinggal di hadapan rumahnya pula berkata, tanaman sayur yang diusahakannya musnah akibat banjir, selain barangan keperluan lain yang tidak sempat diselamatkan.