Thursday, April 9, 2009

Derita warga emas sebatang kara dapat perhatian Kemas

Penderitaan seorang warga emas yang hidup sebatang kara tanpa suami dan anak-anak di Kampung Serkam, mendapat perhatian Kemas dan beberapa pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berkunjung menyampaikan bantuan.

Rokiah @ Habsah Ahmad, 65, yang tinggal sendirian selepas kematian suami dan tidak mempunyai anak, hanya mengharapkan pertolongan daripada jiran tetangga yang datang membantu menguruskan dirinya setiap hari.

“Terima kasih di atas sumbangan serta perhatian terhadap derita saya hidup sebatang kara.

“Mujur ada jiran yang sudi datang membantu menguruskan saya memandangkan keadaan saya yang sering jatuh sakit dan tidak lagi mampu untuk berjalan seperti biasa,” katanya selepas menerima sumbangan Kemas bersempena dengan Program Mesra Rakyat Kemas Parlimen Jasin, kelmarin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhammad; Pegawai Daerah, Halim Ahmad; Ketua Penyelia Badan Sukarelawan Al-Taqwa, Md Dino Md Delan; Pegawai Penyiasat Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Sidek Md Raus serta beberapa pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah.

Pegawai Perhubungan Kemas Parlimen Jasin, Darus Jantan berkata, program ini merupakan salah satu program wajib setiap tahun yang bertujuan memperkenalkan dengan lebih dekat lagi Kemas kepada masyarakat setempat.

“Jika sebelum ini, masyarakat hanya mengetahui Kemas melalui tadika dan aktiviti yang melibatkan wanita, program yang diadakan ini memberi pendedahan bahawa Kemas turut melakukan kerja-kerja amal bagi membantu meringankan beban penduduk yang kurang bernasib baik.

“Menjadi keutamaan Kemas menyampaikan bantuan makanan ini secara bergilir-gilir kepada penduduk kurang berkemampuan untuk mereka turut merasai bahawa masih ada lagi yang memberikan perhatian kepadanya,” katanya.

Menurutnya, Kemas akan memberi penumpuan kepada mereka yang tidak pernah menerima mana-mana bantuan makanan dari agensi atau jabatan supaya mereka tahu diri mereka dihargai.

“Antara mereka yang menerima sumbangan di dalam DUN Serkam ini ialah ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta mereka yang hidup sebatang kara tanpa dijaga oleh sesiapa,” katanya.