Friday, April 10, 2009

Warga Emas Gembira Dapat Sumbangan

Kemas Parlimen Jasin hari ini memberikan perhatian serta menghulurkan sumbangan kepada seorang warga emas yang tinggal seorang di rumahnya Kampung Serkam Darat di sini.

Alimah Mamat, 90, yang cacat pendengaran tinggal seorang diri setelah kesemua anaknya sudah berkeluarga dan menetap di luar kawasan Melaka.

“Saya merasa seronok kerana ada orang sudi hadir ke rumah melawat dan mendengar cerita saya. Saya bosan apabila tinggal berseorangan, selain jiran-jiran yang datang berkunjung untuk menemani saya,” katanya selepas menerima bantuan makanan asas dari Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad di rumahnya hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Jasin, Halim Ahmad, Ketua Penyelia Badan Sukarelawan Al-Taqwa MAjlis Agama Islam Melaka (MAIM), Md Dino Md Delan; Pegawai Perhubungan Kemas Parlimen Jasin, Darus Jantan serta pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah.

Pada lawatan itu, Alimah menerima bantuan keperluan makanan asas seperti minyak masak, beras, milo, susu dan keperluan seharian lain.

Menurut Alimah lagi, barangan keperluan yang disampaikan Kemas Parlimen Jasin ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya untuk membeli barangan makanan seharian.

Sementara itu Ghazalee berkata, memandangkan Alimah tinggal seorang diri di rumah ditambah dengan keadaan fizikalnya yang sudah tidak kuat berjalan justeru, pihaknya mengambil keputusan dengan menyampaikan bantuan makanan ini kepada Alimah.

“Sememangnya kita memandang serius tentang setiap masyarakat yang kurang berkemampuan terutama di kalangan warga emas yang tinggal seorang diri di rumah, jadi perhatian yang lebih perlu diberikan kepada golongan seperti ini,” katanya.

Alimah merupakan antara 15 penerima sumbangan terdiri dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU), kurang kemampuan dan ibu tunggal daripada Kemas Parlimen Jasin yang menjadi secara tahunan bermula tahun 2000 yang lalu.

Sebelum ini, Kemas Parlimen Jasin telah menyampaikan bantuan kepada beberapa penduduk yang berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.