Friday, April 10, 2009

200 Pelawat Kunjungi Kampung Pulai

Kira-kira 200 pelawat dari seluruh negeri telah berkunjung ke Kampung Pulai dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pulai, Seman Deros berkata, antara pelawat yang pernah datang ke kampung itu terdiri mahasiswa dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan terbaru Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Taman Bunga Melor, Klang, Selangor.

“Mahasiswa dari Universiti Malaya (UM) dan yang terkini dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah datang ke kampung ini mengadakan program homestay di sini selama dua hari,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Sementara itu, kumpulan Pemuda UMNO Cawangan Taman Bunga Melor pula datang menginap di kampung berkenaan bertujuan mengadakan program amal dengan kerjasama Pemuda Cawangan Kampung Pulai.

“Mereka telah mengatur beberapa program amal seperti menyampaikan hamper kepada warga kurang berkemampuan, gotong-royong membersihkan tanah wakaf serta melibatkan diri dalam ceramah agama bersempena sambutan Maulidur Rasul,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Seman, kampung berkenaan turut dikunjungi kumpulan mahasiswa dari semesta keempat Fakulti Kejururawatan UiTM.

“Ketika ke mari, mereka telah memberi rawatan kepada keluarga angkat dan lebih 50 penduduk di kampung ini hadir untuk diperiksa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, terdapat juga produk membuat dodol di kampung berkenaan, selain beberapa produk lain yang berjaya dihasilkan oleh penduduk Kampung Pulai.