Usaha yang bersungguh-sungguh diiringi doa ibu bapa telah membawakan kejayaan kepada wakil Qari negeri, Azraie Abdul Haq yang mendapat tempat ke dua dalam Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan yang diadakan di Kedah awal Julai lalu.
Majlis Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan itu telah dianjurkan sekian lama iaitu sejak tahun 1960an lagi dan penganjuran program itu merupakan salah satu usaha mempertingkatkan syiar Islam.
Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ghazale Muhammad berkata, usaha tersebut merupakan pendekatan sederhana iaitu wasatiah dalam dakwah untuk mengajak umat Islam supaya dapat bersama-sama memahami dan menghayati prinsip-prinsip Islam yang syumul.
“Prinsip-prinsip yang syumul ini berasaskan intelektual, rasional dan mementingkan kemajuan dan mengutamakan keharmonian dalam masyarakat yang dinamik dan progressif.
“Oleh itu, kita juga hendaklah lebih proaktif dalam usaha dakwah, di samping membantu kerajaan memelihara perpaduan dan kesejahteraan rakyat bersesuaian dengan tema Tilawah Al-Quran pada tahun ini,'Menjana Ummah Gemilang',” katanya semasa berucap di majlis meraikan Qari negeri Melaka di Perkampungan Ikan Bakar Terapung, malam tadi.
Tambah beliau lagi, Islam adalah sebuah agama yang menganjurkan sifat-sifat positif, nilai-nilai yang murni dalam penghidupan umatnya dan menggalakkan umatnya supaya sentiasa meneroka ilmu dan idea-idea baru yang relevan dengan keperluan masyarakat dari masa ke semasa.
“Justeru, kita amat memerlukan satu anjakan pradigma dan pendekatan secara menyeluruh untuk mengubah persepsi ummah terhadap ajaran Islam yang sebenar bagi membangunkan bangsa dan negara secara kemprehensif.
“Ia juga mampu menyesuaikan diri dengan teknologi masa kini, khususnya penggunaan media seperti pembelajaran al-Quran secara inter-aktif melalui ‘tele-conferencing,’ perisian komputer, dan pelbagai lagi.
“Sesungguhnya usaha-usaha seperti ini perlu diteruskan dan dipertingkatkan lagi dengan pelbagai pendekatan pembelajaran yang lebih terkini dan seterusnya kita akan dikenali sebagai ummah yang bijaksana dan dihormati oleh kaum-kaum lain,” jelasnya.
Jelasnya, amalan membaca al-Quran atau mengadakan tilawah ini adalah sangat bersesuaian dengan ajaran Islam yang mengkehendaki umat Islam supaya sentiasa dapat memperbaiki mutu pembacaan al-Quran dari semasa ke semasa.
“Diharapkan, dengan majlis keraian ini dapat menyuntik dan meransang iltizam diri kita agar dapat bersama-sama mencari segala jenis ilmu baru untuk kita mempertingkatkan mutu pembacaan al-Quran Qari dan Qariah kita dalam mencapai cita-cita memperolehi tempat pertama dalam majlis tilawah pada masa akan datang,” jelasnya.