Tuesday, August 12, 2008

Pegawai Syarak Perlu Dalami Bidang Agama

Semua pegawai syarak dan imam di negeri ini perlu bersedia untuk menjadi tempat rujukan masyarakat di kawasan kariah mereka khususnya dalam bidang agama.

Mereka juga perlu sentiasa menambahkan lagi ilmu pengetahuan dalam bidang agama kerana ilmu pengetahuan itu sentiasa dituntut agama dan perlu diamalkan sepanjang masa.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ghazale Mohamad berkata, sebagai pegawai syarak dan imam, mereka sentiasa menjadi perhatian khususnya masyarakat di kawasan masing-masing.

“Justeru itu, saya berharap semua pegawai syarak dan imam sentiasa menambahkan lagi ilmu pengetahuan mereka dan sentiasa bersedia untuk mendengar apa sahaja permasalahan atau kemusykilan agama penduduk di kariah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup Program Penghayatan Islam Pegawai-pegawai Syarak Daerah Jasin di Masjid Al-Ghaffar dekat sini, baru-baru ini.

Program anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Jasin itu turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Ahmad Mustafa Abd Karim; Imam Daerah Jasin, Abd Manaf Mohamad dan Pegawai Tadbir Agama daerah Jasin, Mohd Shokri Mustaffa.

Menurut Ghazale, program tersebut merupakan siri pertama diadakan pada tahun ini dan ia bertujuan untuk mendedahkan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan Islam kepada semua imam-imam serta pegawai syarak yang terdapat di dalam daerah Jasin.

“Kita di Pejabat Agama Islam daerah cuba untuk menambahkan ilmu-ilmu berkaitan dengan agama Islam kepada para imam serta pegawai-pegawai syarak, memandangkan mereka ini sering menjadi tumpuan masyarat setempat di dalam permasalahan berkaitan Islam.

“Mereka juga menjadi sebagai tempat rujukan penduduk di kawasan mereka dalam hukum-hakam Islam di dalam seperti ICT, isu-isu semasa dan juga maklumat lain,” katanya.