Sunday, August 10, 2008

SRA JAIM Kampung Baru Bakal Memiliki Bangunan Tambahan Baru

Keprihatinan dan komitmen masyarakat di Kampung Baru di sini dalam melahirkan modal insan yang berkualiti telah membolehkan sebidang tanah dibeli oleh mereka bagi tujuan pembinaan bangunan tambahan Sekolah Rendah Agama (SRA) di kampung berkenaan.

Tanah seluas 21,000 kaki persegi itu pada asalnya berharga RM120,000; dibeli oleh para penduduk kampung berkenaan dengan harga RM70,000 menerusi kutipan derma dikalangan mereka manakala pemilik tanah terbabit turut memberikan pengurangan harga bagi tujuan tersebut.

Upacara penyerahan tanah berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan, Norpipah Abdol, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ghazale Muhamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Durian Tunggal, Datuk Ab. Wahab Ab. Latif; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Baharum Majid; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan SRA JAIM Kampung Baru, Azman Ab. Ghani; Iman Masjid Kampung Baru, Muhamad Wajid Ali serta para penderma dan penduduk Kampung Baru.

Ketika berucap dimajlis itu, Norpipah berkata, keiklasan penduduk-penduduk kampung menderma bagi tujuan pembinaan sekolah tersebut memperlihatkan keperihatinan mereka terhadap usaha melahirkan modal insan yang berkualiti.

``Langkah sebegini harus dijadikan contoh oleh rakyat di negeri ini, keikhlasan mereka menderma demi ingin melihat anak-anak memiliki modal insan dalam mengharungi arus kehidupan akan datang,'' katanya. Tambah beliau, permuafakatan yang terjalin diantara mereka telah membolehkan rancangan yang diatur untuk faedah pelajar-pelajar sekolah SRA JAIM di kampung tersebut.

SRA JAIM Kampung Baru pada masa ini mempunyai seramai 127 orang didalam dua buah kelas yang sedia ada.

"Dengan terbinanya empat buah kelas di bangunan tambahan SRA JAIM ini nanti, secara tidak langsung akan dapat memberikan keselesaan kepada para pelajar serta memudahkan mereka untuk mengulangkaji pelajaran kerana bangunan tambahan ini turut memuatkan sebuah bilik komputer, perpustakaan dan sebagainya,'' katanya.

Norpipah berkata, beliau terharu di atas sikap keprihatinan masyarakat kampung terbabit dalam usaha mendirikan bangunan baru SRA JAIM itu.

``Pengorbanan harta yang dimiliki semata-mata untuk kebajikan akan mendapat ganjaran di akhirat kelak dan dalam masa yang sama, saya menasihatkan para pendidik supaya sabar dalam mendidik dan menggangap pelajar seperti anak sendiri," katanya.

Beliau menarik perhatian, kenaikan imbuhan gaji guru-guru SRA JAIM baru-baru ini diharap dapat meningkatkan semangat pendidik untuk memberikan pendidikan yang lebih sempurna lagi dalam melahirkan bakal pemimpin akan datang.

Menurutnya, anak-anak merupakan bakal pemimpin yang akan mewarisi negara ini kelak dan untuk itu mereka harus mendapat pendidikan yang sempurna agar memperolehi ilmu yang mantap dan berkemampuan menangani gejala-gejala sosial yang berlaku sekarang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan SRA JAIM Kampung Baru, Azman Ab. Ghani mengucapkan terima kasih di atas segala kerjasama yang diberikan penduduk dalam merealisasikan hasrat meningkatkan tahap pendidikan itu.

"Jika tiada semangat yang ditonjolkan semua pihak, kita tidak mungkin dapat merealisasikan hasrat untuk mendirikan bangunan sekolah yang baru yang dijangkakan akan memulakan projeknya pada penghujung tahun nanti.

"Malah, penghormatan yang tinggi harus diberikan pada tokoh-tokoh kampung yang terdahulu kerana jasa-jasa mereka yang tidak ternilai demi membuka jalan dan ruang untuk sama-sama membangunkan SRA JAIM ini," katanya.

Pada majlis yang sama, seramai 72 orang anak-anak yatim daripada Sekolah Anak-Anak Yatim dan Fakir Miskin Jalinan Kasih Melekek, Alor Gajah turut diraikan.