Monday, August 11, 2008

Maim tunai janji jelas bil tertunggak


Majlis Agama Islam Melaka (Maim) menunaikan janji yang dibuat bulan lalu untuk menjelaskan separuh daripada bil elektrik yang tertunggak milik seorang peniaga basikal cacat penglihatan yang tinggal di Rumah Pangsa Al-Ehsan Kampung Tujuh di sini semalam.

Cek bernilai RM500 diserahkan Penolong Setiausaha Agihan zakat Maim, Mohd Khabir Abdul Karim kepada peniaga terbabit Jusoh Yasin sambil disaksikan Pembantu Eksekutif Unit Sosio Ekonomi, Perbadanan Melaka Holdings (PMH), Zainal Abu Bakar.

Menurut Mohd Khabir, bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban Jusoh yang sebelum ini keberatan untuk menjelaskan tunggakan bil elektrik yang berjumlah lebih RM1,000.

“Baki tunggakan bil selebihnya akan dibincangkan dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk sekurang-kurangnya dapat dijelaskan secara ansuran dan kita berharap TNB dapat menyambung semula bekalan elektrik di rumah Jusoh secepat mungkin,” katanya.

Sebelum ini Jusoh yang mendiami rumah pangsa tersebut sejak tujuh tahun lalu dikatakan terpaksa bergelap sejak lebih sebulan lalu apabila gagal menjelaskan tunggakan bil elektrik sejak lebih setahun lalu.

Dia yang hanya memperoleh pendapatan bulanan daripada perniagaan membaiki basikal sekitar RM150 sebulan dan mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM300 serta Maim RM200.

Terpanggil dengan kesempitan yang dialami oleh bapa kepada tiga orang anak itu, Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Agama, Tanah, Kewangan dan Perancangan Ekonomi, Ghazale Mohamad turut tampil mengadakan lawatan pada bulan lalu.

Menurut Jusoh, dia juga masih menantikan janji dari pihak Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri yang sebelum ini turut bersetuju untuk menjelaskan baki lagi separuh tunggakan bil berkenaan.

Dalam perkembangan sama juga Jusoh baru-baru ini turut menerima skim bantuan berbentuk pinjaman daripada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang bernilai RM5,000.

Turut sama mendapat kemudahan tersebut ialah Mohd Rosli Abdullah yang mengusahakan ternakan cacing dan Faridah Sijari, perniagaan kosmetik.

Bantuan daripada kerajaan negeri ini diuruskan oleh PMH yang disalurkan menerusi Yayasan Tekun Nasional (Tekun).