Program Tahsin al-Quran yang dirancang begitu rapi sejak beberapa tahun lalu membawakan kejayaan apabila wakil qari negeri, Azraie Abdul Haq berjaya mendapat tempat kedua di dalam pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan yang diadakan di Kedah pada awal Julai lalu.
Majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dianjurkan sekian lama semenjak tahun 1960-an dan ini merupakan salah satu usaha mempertingkatkan syiar Islam.
Di samping itu ia juga dapat memupuk ikatan persaudaraan dan perpaduan dalam usaha membina masyarakat beriman dan bertakwa khususnya di negeri Melaka yang tercinta ini.
Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ghazale Muhammad, usaha tersebut juga merupakan satu pendekatan sederhana iaitu wasitah dalam dakwah untuk mengajak umat Islam supaya dapat bersama-sama memahami dan menghayati prinsip-prinsip Islam yang syumul.
“Prinsip-prinsip yang syumul ini berasaskan intelektual, rasional dan mementingkan kemajuan dan mengutamakan keharmonian dalam masyarakat yang dinamis dan progresif.
“Oleh itu, kita juga hendaklah lebih proaktif dalam usaha dakwah di samping membantu kerajaan memelihara perpaduan dan kesejahteraan rakyat bersesuaian dengan tema Tilawah al-Quran pada tahun ini, ‘Menjana Ummah Gemilang’,” katanya semasa dalam ucapan pada majlis meraikan qari negeri Melaka di Perkampungan Ikan Bakar Terapung, kelmarin.
Tambah beliau lagi, Islam adalah sebuah agama yang menganjurkan sifat-sifat positif, nilai-nilai murni dalam penghidupan kita dan menggalakkan kita supaya sentiasa meneroka ilmu dan idea-idea baru yang relevan dengan keperluan masyarakat dari masa ke semasa.
“Justeru, kita amat memerlukan satu anjakan paradigma dan pendekatan secara menyeluruh untuk mengubah persepsi ummah terhadap ajaran Islam yang sebenar bagi membangunkan bangsa dan negara secara komprehensif.
“Ia juga mampu menyesuaikan diri dengan teknologi masa kini, khususnya penggunaan media seperti pembelajaran al-Quran secara interaktif melalui ‘tele-persidangan’ perisian komputer dan pelbagai lagi.
“Sesungguhnya usaha-usaha seperti ini perlu diteruskan dan dipertingkatkan lagi dengan pelbagai pendekatan pembelajaran yang lebih terkini dan maka seterusnya kita akan dikenali sebagai ummah yang bijaksana dan dihormati,” jelasnya.
Jelasnya, amalan membaca al-Quran atau mengadakan tilawah ini adalah sangat bersesuaian dengan ajaran Islam yang mengehendaki kita supaya sentiasa dapat memperbaiki mutu pembacaan al-Quran dari semasa ke semasa.
“Di harapkan dengan majlis keraian ini dapat menyuntik dan merangsang iltizam diri kita agar dapat bersama-sama mencari segala jenis ilmu baru untuk kita dapat mempertingkatkan mutu pembacaan al-Quran qari dan qariah kita dalam mencapai cita-cita memperoleh tempat pertama dalam majlis tilawah pakan datang,” jelasnya.