Sunday, September 14, 2008

Kita Mesti Mensyukuri Nikmat Kurniaan Allah

Umat Islam di negeri ini diseru supaya terus mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah kerana kita masih berpeluang untuk menunaikan ibadah puasa pada tahun ini.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ghazale Mohamad berkata, berbanding dengan saudara mara dan kenalan yang telah kembali ke rahmatullah, peluang menunaikan ibadah puasa kali ini hendaklah disemarakkan dengan menambahkan lagi amal ibadat kepada Allah .

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Serkam berkata, umat Islam juga perlu bersyukur kerana diberi kesihatan yang baik berbanding dengan mereka yang sakit sehingga tidak dapat berpuasa.

“Saya menyeru diri saya dan umat Islam di negeri ini supaya bersyukur kepada Allah kerana kita juga turut diberi kelapangan masa untuk sama-sama menunaikan solat tarawih, bertadarus Al-Quran dan melakukan kebajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Hari Raya kepada 76 anak yatim dari 19 cawangan UMNO dari DUN Serkam di Masjid Jamek Tedong dekat sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis tu Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah, Senator Datuk Akbar Ali, Penghulu DUN Serkam dan DUN Merlimau, Zakariah Abu Bakar dan Lazan Ali, Pengerusi Lembaga Masjid Kampung Tedong, Abd Rahim Hasan dan Setiausaha JAPERUN DUN Serkam, Ramlan Md Ali.

Pada majlis itu, isteri Ghazale, Robiah Edris turut menyampaikan sumbangan bantuan dan duit raya kepada anak-anak yatim dari kawasan DUN Serkam.

Seorang penerima, Mohd Fathurrahman Azman, 14, berkata beliau gembira kerana pertama kali mendapat sumbangan bantuan bulan puasa dan duit raya pada tahun ini dan berjanji akan menggunakan wang yang diterima dengan sebaiknya.

Bagi Ainur Fatiha Abu, 11, pula berkata beliau akan menyimpan duit sumbangan yang diterima di dalam bank bagi digunakan untuk tujuan pembelian peralatan sekolah serta pakaian dan kasut sekolah.

Nor Suhaili Tompang, 11, juga turut gembira dan bersyukur dengan bantuan yang diterima itu dan berjanji akan menggunakan wang dan bantuan yang diterima untuk keluarganya.