Monday, November 24, 2008
Kedamaian pikat sekeluarga Orang Asli peluk Islam
Kedamaian jiwa yang ditemui dalam agama Islam telah membuka hati sebuah keluarga Orang Asli di Kampung Lubok Bandung, Simpang Bekoh di sini untuk memeluk agama itu.
Rokiah Bujang, 41 tahun, seorang ibu tunggal bersama empat anaknya, Siti Norermawati Maun, 21, Norhayati, 13, Mohd. Nazri, 10 dan Erma Fatima, 7, memberitahu, keinginan mereka itu bukan dipaksa atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Sebaliknya, kata mereka, ketenangan jiwa dalam agama itu sendiri telah berjaya membuka pintu hati mereka sekeluarga untuk memeluk Islam dan tindakan tersebut dibuat atas kerelaan hati masing-masing.
Bagi Rokiah, pintu hatinya terbuka untuk memeluk Islam sejak dua tahun lalu selepas sekian lama menjalani kehidupan tanpa agama.
''Sebelum itu, saya tidak pernah terfikir untuk mengikuti mana-mana agama dan secara tiba-tiba apabila menyebut Islam, pintu hati saya terbuka luas untuk menerimanya.
''Serentak dengan itu, saya bertekad untuk mempelajari agama Islam ini bersama anak sulung, Siti Norermawati.
''Ketika itu, anak-anak saya yang lain masih kecil dan saya tidak pula terfikir untuk membawa mereka bersama-sama memeluk Islam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini semalam.
Bagaimanapun, hasrat wanita itu akhirnya tercapai apabila tiga lagi anaknya hari ini telah memeluk Islam di hadapan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ghazale Muhamad di rumah keluarga Orang Asli terbabit.
Pada majlis itu, anak-anaknya iaitu Norhayati, Mohd. Nazri dan Erma Fatima sambil ditemani Rokiah dan kakak sulung mereka telah diajar oleh Ghazale untuk melafazkan kalimah syahadah.
Hadir sama ialah Tok Batin, Sampat di kampung berkenaan
Selepas selesai majlis itu, tiga kanak-kanak berkenaan diberikan hadiah berupa sejadah, songkok, telekung dan buku agama, selain wang zakat saudara baru sebanyak RM500 setiap seorang.
Menurut Rokiah, sejak bergelar muslimah, hidupnya semakin tenang dan teratur biarpun mengakui banyak kelemahan dirinya yang perlu diatasi.
''Saya juga tidak memaksa anak-anak untuk memeluk Islam, malah mereka sendiri bertanyakan kepada saya bila mereka boleh menganuti Islam.
''Selepas itu, barulah saya berjumpa dengan pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk bertanyakan tentang perkara ini dan tidak lama kemudian, akhirnya harapan saya ini tercapai juga," katanya.
Katanya, anak sulungnya, Siti Norermawati juga baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama seorang pemuda Melayu dari kampung berhampiran pada Ogos lalu.
''Saya juga baru mengkhatankan anak lelaki ketiga saya, Mohd. Nazri, kelmarin, selepas dia menyatakan telah bersedia untuk memeluk Islam tanpa ada paksaan daripada saya atau pihak lain," katanya.
Selain itu, menurut Mohd. Nazri, Islam bukan satu agama yang asing baginya memandangkan sebahagian rakan sekolahnya di Sekolah Rendah Kebangsaan Chabau di sini adalah di kalangan murid beragama Islam.
Kata Rokiah, keluarganya merupakan antara lima keluarga Orang Asli yang memeluk Islam di kampung berkenaan daripada keseluruhan 105 penduduk Orang Asli yang terdapat di situ.