Dua tahun lalu Mohd. Nazri Maun sering bertanya kepada ibunya, Rokiah Bujang, 41, mengapa namanya berbeza daripada nama anak-anak Orang Asli lain yang tinggal di Kampung Lubok Bandung, Simpang Bekoh di sini.
Oleh kerana Mohd. Nazri masih kecil, si ibu, yang juga seorang ibu tunggal hanya mendiamkan diri dan menunggu masa yang lebih sesuai untuk memberitahu Mohd. Nazri yang ketika itu berusia lapan tahun.
Bukan Mohd. Nazri sahaja, kakaknya, Siti Norhayati, 13, juga dibelenggu persoalan yang sama kerana sering ditanya oleh rakan-rakan sekelas mengenai nama Melayu yang dimilikinya itu tetapi dalam borang pengenalan dirinya, tidak pula dinyatakan tentang agama mereka.
Akhirnya persoalan adik beradik itu terjawab pada bulan lalu apabila Rokiah membawa anak-anaknya itu memasuki dunia baru iaitu menganut agama Islam.
Dua tahun sebelum itu, Rokiah hanya membawa anak perempuan sulungnya, Siti Norermawati, 21, untuk bersamanya memeluk agama Islam kerana merasakan pada waktu itu Mohd. Nazri, Siti Norhayati dan anak bongsunya, Erma Fatima, tujuh tahun, masih terlalu kecil.
Bagaimanapun, kali ini Rokiah sudah bersedia dan paling membanggakan wanita itu, apabila Mohd. Nazri sendiri menyatakan kesediaannya untuk dikhatankan sebelum dia melafazkan kalimah syahadah.
''Saya agak terkejut ketika dia (Mohd. Nazri) menyatakan hasrat untuk berkhatan selepas saya bertanyakan kepada anak-anak tentang agama Islam.
''Kakaknya Norhayati pula tidak berkata apa-apa, cuma tersenyum, seolah-olah seperti lega setelah menunggu sekian lama manakala adik bongsunya pula, menunjukkan reaksi kehairanan tetapi tidak pula menangis atau menolak," kata Rokiah kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Pada tarikh 24 November lalu, Mohd. Nazri bersama kakak dan adik bongsunya telah memeluk Islam di hadapan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ghazale Muhamad di rumah mereka di Kampung Lubok Bandung.
Pada waktu itu, tiga beradik Orang Asli itu diapit oleh ibu dan kakak sulung mereka dan diajar oleh Ghazale untuk melafazkan kalimah syahadah.
Reaksi ketiga-tiga mereka agak tenang dan wajah yang paling teruja pada majlis itu adalah anak lelaki tunggal Rokiah, Mohd. Nazri. Walaupun baru sehari dikhatankan, kanak-kanak itu langsung tidak menunjukkan wajah tertekan atau malu kerana mereka menjadi perhatian masyarakat luar termasuk pihak akhbar.
''Anda kini sudah menjadi remaja Islam dan 'orang paling kuat' di rumah. Anda kini sudah ada tanggungjawab ya," tanya Ghazale kepada Mohd. Nazri ketika bersalaman dengan kanak-kanak itu.
Mohd. Nazri hanya tersenyum bangga dan sesekali menjeling kepada ibunya yang sejak dari mula majlis hingga selesai, asyik tersenyum dan sesekali mengalirkan air mata kegembiraan kerana mereka sekeluarga kini telah memperoleh sinar Islam yang telah lama dicari sebelum ini.
''Saya bersyukur akhirnya saya dapat juga memeluk Islam kerana sebelum ini kawan-kawan di sekolah sering keliru dengan status agama saya.
''Mereka ingatkan saya beragama Islam kerana nama saya Mohd. Nazri dan tidak mengetahui saya ini daripada masyarakat Orang Asli," kata Mohd. Nazri.
Dia yang sebelum itu agak pendiam ketika ditanya tentang dirinya, tiba-tiba berubah menjadi peramah selepas diminta bercerita tentang pergaulan dirinya di sekolah dengan rakan beragama Islam.
''Saya lebih ramai kawan Islam di sekolah berbanding rakan Orang Asli di kampung. Saya gembira sewaktu bersama mereka, '' katanya.
Ditanya tentang pengalaman berkhatan, kanak-kanak itu yang bercita-cita menjadi anggota tentera berkata:
''Tak sakit pun, macam biasa sahaja, lagi pun, malulah saya kalau rakan-rakan lain melihat saya menangis. Nak jadi lelaki kena buktikan berani."