Seramai 63 kanak-kanak terdiri daripada anak saudara baru dari seluruh negeri diraikan dalam majlis program berkhatan beramai-ramai di Masjid Al-Azim di sini semalam.
Program yang diadakan pada setiap dua tahun sekali itu bermula tahun 2006, dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sempena musim cuti persekolahan ketika ini.
Kesemua kanak-kanak yang terlibat dalam majlis itu berusia antara enam hingga 12 tahun.
Menurut Pengerusi MAIM, Ghazale Mohamad, program tersebut diadakan bagi merapatkan hubungan persaudaraan dan perpaduan di kalangan saudara baru dengan masyarakat Islam seperti yang dituntut oleh agama.
''Pada tahun sebelumnya, seramai 50 kanak-kanak di kalangan saudara baru telah menyertai program ini dan sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada segi bilangan penyertaan mereka.
''Penganjuran program ini juga untuk membantu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa memandangkan kos berkhatan yang kini agak mahal sehingga mencecah RM150 seorang," katanya di sini semalam.
Menurut Ghazale, penganjuran program itu juga bagi memenuhi tuntutan agama Islam yang mahukan setiap penganutnya memiliki kualiti kesihatan yang terbaik di kalangan masyarakat.
''Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan fahaman Islam terhadap saudara baru terutama kepentingan berkhatan seperti yang dituntut oleh agama Islam itu sendiri,'' katanya.