Sunday, November 23, 2008

JAIM sedia terima idea perbaiki khidmat

Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sentiasa bersedia menerima idea dan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi meningkatkan syiar Islam di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Ghazalee Mohamad berkata, kerjasama itu penting untuk bertukar fikiran dan pengalaman bagi menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

“JAKIM adalah pusat yang diberi tanggungjawab untuk menyelaraskan isu atau masalah di antara negeri supaya tidak wujud percanggahan antara satu sama lain.

“Masalah yang wujud perlu diselesaikan dengan cara baik supaya kesatuan dalam Islam dapat ditonjolkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama dan Ketua Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia Kali Keenam di Hotel Bayview, di sini, kelmarin.

Mesyuarat yang dihadiri 40 Ketua Pegawai Penguatkuasa dan Ketua Pendakwa Syarie itu, diadakan selama tiga hari, bertujuan membincangkan isu dan masalah berbangkit dengan penguatkuasaan dan pendakwaan undang-undang syariah.

Hadir sama, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz; Pengarah JAIM, Datuk Alias Mat Saad; Pengarah Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan Undang-undang JAKIM, Abdul Latif Ibrahim dan Pengarah Bahagian Undang-undang JAKIM, Meor Hashimi Abdul Hamid.

Menurut Mohd Ali, walaupun bidang kuasa agama terletak di bawah kuasa negeri-negeri, namun kerjasama dalam penyelarasan perlu diteruskan.

“Sebenarnya banyak isu yang telah diselaraskan, bukan sahaja dalam bidang penguatkuasaan dan pendakwaan, malah dalam bidang lain. Maka ia patut diteruskan dan diterima pakai di setiap negeri,” katanya.

Menurutnya, pegawai yang dilantik sebagai penguatkuasa agama perlu bangga kerana dapat menjalankan tugas amar makruf nahi mungkar.

“Tugas yang dijalankan bukan sahaja mendapat ganjaran pahala di dunia, tetapi juga di akhirat.

“Oleh itu, pegawai harus mematuhi undang-undang agar tidak dipertikaikan pihak tertentu kerana masyarakat sekarang sering mencari kelemahan untuk menjatuhkan umat Islam,” katanya.