Sunday, November 23, 2008

Peserta paling muda khatan

Mohd Hakim Hafiz Muhamad Hafiz Chu yang baru berusia tiga tahun menarik perhatian ramai apabila menjadi peserta termuda di kalangan 60 kanak-kanak yang menyertai Majlis Berkhatan Beramai-Ramai Saudara Muslim di Dataran Masjid Al-Azim, Bukit Palah, Peringgit, dekat sini, pagi semalam.

Ketika ditanya sama ada takut atau sakit, Mohd Hakim Hafiz yang ditemani bapa, Muhamad Hafiz Chu Abdullah, 47, dan ibunya, Noor Azura Che Ghazali, 28, hanya menggelengkan kepala.

Menurut Muhamad Hafiz, dia dan isterinya mengkhatankan anak mereka pada usia muda kerana berpendapat ia lebih baik dan mudah untuk kanak-kanak itu.

“Saya rasa lebih mudah mengkhatankan anak-anak ketika mereka masih kecil. Alhamdulillah, semuanya selamat.

“Dia (Mohd Hakim Hafiz) hanya merengek kecil saja dan selepas disuntik bius, dia kelihatan tenang dan boleh menahan sakit,” katanya yang menetap di Taman Malim, dekat sini.

Majlis anjuran Jabatan Agama Islam negeri (Jaim) dan Majlis Agama Islam negeri (Maim) bermula kira-kira jam 8.30 pagi.

Semua 60 kanak-kanak termasuk 33 anak saudara muslim diarak dari bawah khemah sebelum disiram oleh anggota pasukan Bomba dan Penyelamat Bukit Katil.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Ghazale Mohamad, Pengarah Jaim, Datuk Alias Md Saad dan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli negeri (JHEOAN).

Selain menerima imbuhan sagu hati berupa wang RM20 setiap seorang kanak-kanak terbabit turut diberikan sehelai kain pelekat.

Sementara itu, pekerja kilang, Mohd Ridzuan Thinagaran Abdullah, 37, berterima kasih kepada Majlis Agam Islam Melaka (MAIM) kerana menganjurkan majlis itu secara percuma.

“Program ini meringankan beban golongan berpendapatan sederhana dan miskin,” katanya yang mengkhatankan tiga anak lelaki berusia lima hingga sembilan tahun iaitu Izan Izuddin, Izul Ikram dan Izat Irfan.