Syarikat swasta di negeri ini diseru supaya tampil membantu golongan kurang bernasib baik terutama pada bulan mulia ini.
Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ghazale Muhamad berkata, diharapkan lebih banyak syarikat swasta menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Saya berharap lebih banyak pihak swasta akan tampil membantu saudara-mara kita yang kurang bernasib baik terutama pada bulan mulia ini kerana ia akan dapat memberikan keceriaan kepada mereka,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan oleh Syarikat Pembangunan Pertanian Melaka (SPPM) Sdn Bhd di Balai Raya Seri Mendapat, baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SPPM Sdn Bhd, Hasim Isa, Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Ariff Umar dan Ketua Puteri UMNO bahagian Jasin, Siti Faizah Datuk Abdul Aziz.
Ghazale berkata, langkah SPPM menganjurkan program berkenaan amat baik kerana ia akan dapat membantu mengurangkan jurang ekonomi dan pendapatan di negeri ini.
Sementara itu, menurut Hasim, program memberi sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik itu adalah acara tradisi SPPM yang dimulakan sejak 2004.
Menurut Hasim, SPPM adalah anak syarikat Kerajaan Negeri yang ditubuhkan pada 1982 dengan aktiviti utamanya ialah perladangan kelapa sawit.
“Program yang menjadi acara tahunan SPPM ini adalah sebagai tanda kesyukuran syarikat dan menjadi salah satu daripada tanggungjawab sosial kami bersama kerajaan membantu golongan yang kurang bernasib baik,” katanya.
Seramai 81 orang terdiri daripada anak yatim, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal dari kawasan Lanchang, Chinchin, Lembah Kesang dan Seri Mendapat, menerima sumbangan berkenaan.