Sunday, September 28, 2008

Bedah Bertuah Dapat Bantuan Hari Raya RM5,000 Sumbangan Untuk Baiki Rumah

Seorang balu, Bedah Mizan, 41, terharu apabila dapat berhari raya dengan sempurna setelah menerima peruntukan sebanyak RM5,000 daripada Prokhas bagi tujuan membaiki semula rumahnya di kampung Jalan Permatang Serai, dekat sini.

Bedah turut menerima sumbangan barangan keperluan dapur bagi meringankan beban seisi keluarga daripada Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Akbar Ali, hari ini.

Akbar berkata, Bedah yang baru kematian suaminya sejak tiga bulan lalu akibat sakit tua, dikurniakan tujuh cahaya mata, manakala tiga darinya menghidap penyakit thalasaemia.

Menurutnya, umur anak beliau antara enam hingga 16 tahun, namun belum mendapat apa-apa bantuan daripada Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPNM).

"Selepas raya ini saya akan mengemukakan surat kepada TAPNM untuk memberikan bantuan kepada anak-anak Bedah ini," katanya kepada pemberita di sini, pagi tadi.

Sebanyak 10 keluarga telah dilawati oleh Akbar sempena Aidilfitri sambil ditemani isterinya, Kalsom Aziz.

Tambahnya, Bedah turut menerima sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM450 sebulan dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), RM130 berupa makanan.

Akbar yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kesejahteraan Ummah berkata, sumbangan itu akan disalurkan di seluruh negeri bagi meringankan beban-beban golongan sasar.