Tuesday, June 2, 2009

HM, JKM bantu remaja koma


Penderitaan seorang remaja, Mohd Nor Mohd Yusuf, 24, yang koma selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 27 April lalu mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Serkam, Ghazalee Muhammad memberitahu, selepas sebulan Mohd Nor mendapat rawatan di Hospital Melaka (HM), dia diarahkan dibawa pulang ke rumah keluarganya bagi mengelakkan terkena jangkitan bakteria meningitis yang menular pada ketika itu.

“Dia dibekalkan beberapa alatan bantuan oleh pihak HM untuk membolehkan ahli keluarganya menjaganya dengan baik.

“Ketika kemalangan itu, kepala remaja berkenaan cedera teruk sehingga menyebabkan dia tidak dapat menggerakkan tubuh badannya dan sehingga kini, masih masih belum sedarkan diri,” katanya.

Menurutnya, pada 17 Jun depan, Mohd Nor perlu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut dengan pakar di sana.

Katanya, memandangkan pendapatan bapanya, Mohd Yusuf Hashim, 66, hanya bekerja kampung, keluarganya tidak berkemampuan menguruskan untuk membawa Mohd Nor ke HKL di samping tidak mempunyai kenderaan.

“Oleh yang demikian, kita sudah menghubungi pihak HM dan mereka juga telah menyatakan persediaan mereka untuk membantu pesakit ini dan menyediakan pengangkutan untuk membawanya ke HKL.

“Sementara bapanya, yang sebelum ini menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Skim Bantuan Kanak-Kanak sebanyak RM100 akan dipertimbangkan untuk ditukar kepada Bantuan Pesakit Kronik yang bernilai RM300,” katanya.

Menurutnya, bagi memberikan kemudahan dan kesenangan kepada keluarga mangsa, JKM akan menyediakan bantuan RM300 serta-merta sebelum mangsa dan keluarganya berangkat ke HKL untuk rawatan susulan.

“Kita akan mengarahkan Badan Sukarelawan Al-Taqwa Majlis Agama Islam Melaka (Maim) supaya bersama-sama dengan pasukan perubatan mereka untuk menziarahi mangsa selain memberikan bantuan,” katanya.

Menurutnya, diharapkan bantuan yang disampaikan dapat membantu meringankan beban yang ditanggung keluarganya dalam usaha menyembuhkan Mohd Nor.

Sementara itu, Mohd Yusuf bersyukur di atas keprihatinan ADUN kawasan selain agensi lain yang turut sama terlibat menyalurkan bantuan kepada anaknya itu.

“Dengan pendapatan tidak seberapa sebagai penangkap ikan, kami juga tidak mampu membeli keperluannya yang lain seperti susu yang bernilai RM60 satu tin dan lain-lain keperluan,” katanya.