Friday, May 8, 2009

Hari Ibu tinggal kenangan


Tanggal 10 Mei setiap tahun sentiasa dinantinanti oleh empat beradik dari Kampung Ulu Duyung, Bemban di sini untuk meraikan insan tersayang buat mereka yang bergelar ibu.

Seperti anak-anak yang lain, empat beradik ini yang tidak berbapa, sudah sibuk merencanakan rancangan untuk meraikan Hari Ibu buat ibu tersayang, Rosita Zainal, 45, sempena hari istimewa itu.

Namun, pada Ahad lalu, impian itu musnah untuk selama-lamanya apabila ibu tersayang terlibat dalam kemalangan dipercayai dilanggar oleh kenderaan sewaktu menunggu bas untuk ke tempat kerja di Melaka Sentral kira-kira pukul 7 pagi.

''Kami adik-beradik sudah merancang untuk membawa ibu bersiar-siar di pusat bandar dan menonton wayang filem Hindustan kerana ibu amat meminati filem itu.

''Malah, salah seorang adik yang masih belajar di Kuala Lumpur sudah berpesan untuk balik pada Hari Ibu untuk bersama-sama meraikan ibu namun nampaknya cita-cita kami tidak kesampaian," kata anak sulung empat beradik itu, Noorazila Bujang, 21, ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Noorazila yang bekerja di Batu Berendam di sini, berkata, mereka kini sudah menjadi anak yatim piatu memandangkan bapanya telah lebih awal meninggalkan mereka kira-kira lapan tahun lalu.

Menurutnya, sebelum tragedi malang menimpa ibunya, kelakuan ibunya agak pelik kerana menyatakan hasrat untuk meminjam pakaiannya.

''Malam sebelum kejadian, arwah ibu menyatakan keinginan untuk memakai pakaian saya, walaupun berasa pelik dengan hasratnya, saya tetap mengizinkan arwah untuk memakai pakaian saya," katanya.

Katanya, dia kini perlu menjaga dua daripada tiga adiknya yang lain iaitu Roranitah Bujang, 17, dan Mohd. Aidil Bujang, 14, kerana masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Bemban.

''Kami empat adik beradik kini lebih tabah untuk meneruskan kehidupan ini walaupun kami tiada lagi ibu dan ayah.

''Sambutan Hari Ibu yang lalu bersama ibu kini tinggal hanya kenangan paling manis buat kami empat beradik," katanya.

Seorang lagi adik Noorazila, Noorafeda Bujang, 18, sedang menjalani kursus dandanan di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.

Ketika ini, empat beradik berkenaan tinggal bersama nenek mereka, Rahmah Kassim di kampung berkenaan.

Pada kejadian Ahad lalu, Rosita dikatakan sedang menunggu bas di hadapan rumahnya apabila mangsa tiba-tiba dirempuh sebuah kereta dipandu seorang remaja berusia 21 tahun