Wednesday, July 15, 2009

Tujuh Kariah Masjid DUN Serkam Sertai Pertandingan Berzanji

Pertandingan Berzanji dan Marhaban membabitkan tujuh kariah masjid sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, berjaya menghasilkan suatu kesenian Islam yang harus diketengahkan demi manfaat bersama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad berkata pertandingan seperti ini, ia dapat menarik perhatian golongan muda untuk turut sama menyertainya dalam usaha bersama-sama mendalami Agama Islam.

"Syukur, walaupun pertandingan ini merupakan pertandingan yang pertama kali diadakan, tetapi ianya mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan daripada seluruh anggota masyarakat termasuk golongan muda," katanya berucap merasmian Pertandingan Berzanji dan Marhaban antara Masjid di perkarangan Masjid Al-Khausar, Kampung Umbai Pantai, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah, Penghulu DUN Serkam, Zakaria Abu Bakar, Pengerusi Penyelaras UMNO DUN Serkam, Musa Ahmad dan Pengerusi Masjid Al-Khausar, Arshad Abd Rahman.

Katanya, pada pertandingan ini, sebanyak tujuh daripada 10 masjid di dalam DUN Serkam turut serta dalam acara ini dan pihaknya merancang untuk mengadakan pertandingan yang sama untuk kaum wanita pada hujung bulan ini.

Pada pertandingan tersebut pasukan Sempang muncul Johan dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500 di samping piala pusing, piala iringan, medal dan sijil penyertaan.

Tempat kedua pula dimenangi oleh pasukan dari Kampung Umbai Pantai dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM400 selain piala iringan, medal dan sijil penyertaan, makanala tempat ketiga pula disandang oleh kumpulan dari Kampung Serkam dengan membawa pulang wang tunai RM300 serta piala iringan, medal dan sijil penyertaan.

Empat lagi pasukan yang bertanding menerima saguhati wang tunai RM100, medal serta sijil penyertaan.

Jelasnya, pertandingan berbentuk keagamaan ini akan tetap diadakan pada setiap tahun dan memandangkan sambutan yang diterima daripada penduduk tempatan menggalakkan maka pihaknya merancang untuk mengadakan pertandingan untuk kategori kanak-kanak di masa hadapan.

"Ia bukan sahaja bermanfaat kepada golongan dewasa, malah ia juga merupakan sebahagian daripada bentuk dakwah kita dalam usaha menarik lebih ramai lagi golongan muda dan golongan masyarakat mendalami agama Islam ini," katanya.

Justeru itu, beliau berharap pada masa hadapan, lebih ramai lagi penyertaan akan di terima daripada masyarakat di DUN Serkam ini.