Friday, May 8, 2009

ADUN bantu ringankan beban 4 beradik

Kesedihan kehilangan ibu untuk selama-lamanya oleh empat beradik malang dari Kampung Ulu Duyung, Bemban di sini, dikongsi bersama oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad,

Beliau yang juga Timbalan Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri berkunjung ke rumah anak yatim piatu itu dengan membawa sumbangan dan memberi jaminan masa depan anak-anak malang terbabit akan mendapat pembelaan dari pihak kerajaan.

Menurutnya, keluarga berkenaan sebelum ini ada menerima bantuan makanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sejak beberapa tahun lalu.

''Saya juga telah meminta pegawai MAIM untuk meneliti bentuk bantuan yang sesuai disalurkan kepada mereka memandangkan bantuan yang diperolehi sebelum ini adalah terletak di bawah nama arwah ibu mereka," katanya sewaktu ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, Roranitah Bujang, 17 dan Mohd Aidil Bujang, 14, akan diberi bantuan persekolahan di bawah program Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) bagi menampung persekolahan mereka sehingga tamat pengajian.

Katanya, anak kedua keluarga itu, Noorafeda, 18, yang sedang melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur pula akan dipertimbangkan untuk menerima bantuan pembelajaran daripada agensi sama.

Ujarnya, MAIM akan meneruskan pemberian bantuan barangan makanan kepada keluarga berkenaan menerusi anak sulung, Noor Azilah, 21.

''Sebelum ini, bantuan makanan ini diserahkan atas nama ibu mereka, Allahyarham Rosita Zainal namun ia ditukar kepada nama Noor Azilah.

''Kita amat bersimpati atas nasib yang menimpa keluarga itu dan dengan sumbangan berkenaan diharap akan mengurangkan sedikit bebanan yang ditanggung mereka,'' katanya.

Beliau turut meminta simpati dan bantuan daripada pelbagai pihak khususnya badan korporat di negeri ini agar mengambil inisiatif membantu meringankan penderitaan hidup yang dialami oleh empat beradik malang terbabit.