Thursday, January 1, 2009

Nasib berubah lepas nahas

Seorang wanita, Fatimah Mohamad, 49, yang patah kaki kirinya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, kira-kira dua tahun lalu memerlukan tongkat bagi membolehkannya bergerak dengan sempurna tanpa perlu membebankan suami dan ahli keluarganya.

Ibu kepada lima anak itu berkata, ketika ini, suaminya, Khamis Ab Hamid, 56, bersama beberapa anaknya kadang-kala terpaksa memapahnya untuk ke bilik air atau bersiar di luar rumah kerana tongkat sedia ada sudah uzur.

“Keadaan itu menyebabkan beberapa ahli keluarga risau untuk membiarkan saya bersendirian di rumah kerana khuatir sekiranya saya terjatuh disebabkan keadaan tongkat yang uzur itu.

“Saya ada mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan tongkat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Ghazale Muhamad,” katanya.

Dia ditemui di rumahnya di Taman Datuk Abdul Aziz Kampung Pulai, Serkam di sini, semalam. Menemani dia Khamis yang bekerja sebagai sebagai pemandu lori.

Menceritakan detik malang dirinya ditimpa kemalangan, Fatimah berkata, kejadian berlaku jam 6.30 pagi ketika dia bermotosikal dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah hotel di bandar Melaka sebelum dirempuh bas kilang di Persimpangan Jalan Serkam Pantai di Solok Minyak.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan kaki kirinya patah kepada tujuh bahagian sekali gus mengalami kecacatan kekal dan terpaksa bertongkat.

“Saya reda dengan keadaan ini dan berharap ada pihak yang sudi membantu menghulurkan bantuan yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Ghazale yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim), berkata beliau bersama Badan Sukarelawan At-Taqwa Maim akan berkunjung ke rumah wanita berkenaan, hari ini untuk menyampaikan bantuan tongkat .

Katanya, pihaknya prihatin dengan masalah dihadapi wanita terbabit, apatah lagi kemalangan yang menimpanya menyebabkan kaki kirinya patah dan tidak mampu berjalan.

“Badan Sukarelawan At-Taqwa Maim bersama Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Serkam akan bersama-sama menghulurkan bantuan itu serta menjalankan pemeriksaan kesihatan menerusi Unit Amal badan itu,” katanya.