Monday, December 29, 2008

Penulis Blog Wajar Dikenakan ISA

Tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) wajar dikenakan kepada individu yang bertanggungjawab menulis blog menghina Nabi Muhammad S.A.W yang jelas boleh menimbulkan kekacauan dan huru-hara di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad berkata, individu terbabit mempunyai niat yang tidak baik telah mewujudkan blog tersebut.

"Perbuatan individu terbabit jelas menghina masyarakat Islam di negara ini dan berniat mendatangkan keadaan huru-hara di kalangan masyarakat," katanya yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Beliau berkata demikian selepas melawat bayi kelahiran sambutan Ma'al Hijrah di Hospital Melaka (HM) di sini hari ini.

Ghazale berkata, itu merupakan usaha pihak tertentu untuk memecah belahkan persefahaman dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Maka amat wajar individu yang bertanggungjawab ke atas perkara itu dikenakan ISA," katanya.

Beliau menegaskan, pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut, kelmarin bagi membantah kewujudan blog terbabit yang jelas menghina kesucian agama Islam.

"Sekiranya individu terbabit tidak diambil tindakan yang sewajarnya, perkara ini mungkin akan berlarutan dan kewujudan blog itu telah mendatangkan keadaan tidak selesa di kalangan umat Islam," katanya.